Pekerja Bank Cedera di Kepala, Badan Dan Rugi RM5,000 Selepas Disamun

Pekerja Bank Cedera di Kepala, Badan Dan Rugi RM5,000 Selepas Disamun

0
SHARE
Tangkap layar rakaman samun tular di Aplikasi WhatsApp

KOTA KINABALU: Seorang wanita mengalami cedera di kepala dan badan selepas dipukul menggunakan kayu dan disamun oleh seorang lelaki dalam kejadian samun di lorong belakang sebuah bank di bandaraya Kota Kinabalu pada Jumaat lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Kalsom Idris berkata, pihaknya menerima laporan polis mengenai kes samun tersebut sehari selepas kejadian, iaitu Sabtu lalu (17 Feb). 

Katanya, mangsa merupakan seorang wanita berusia 50 tahun dan bekerja di sebuah bank berdekatan.

“Dalam kejadian pada 16 Februari 2024, kira-kira jam 6.30 pagi, mangsa telah diserang oleh seorang lelaki dengan menggunakan sebatang kayu.

“Mangsa mengalami kecederaan di kepala dan badan serta mengalami kerugian berjumlah kira-kira RM5,000 termasuk telefon pintar dan wang tunai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Kalsom berkata, anggota polis Kota Kinabalu berjaya menangkap suspek pada Ahad lalu (18 Feb) yang disyaki terlibat dalam kejadian ini dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 392 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa lebih berhati-hati pada setiap masa dan berwaspada dengan setiap pergerakan terutamanya pada waktu malam yang dipercayai memudahkan penjenayah bertindak.

“Elakkan juga ke tempat atau kawasan yang sunyi secara berseorangan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku,” tegasnya.

Terdahulu, tular di media sosial menerusi aplikasi WhatsApp, sebuah rakaman video berdurasi 31 saat yang memaparkan kejadian tersebut.