KOTA KINABALU: Seramai 700 peserta menyertai program 14th Mother’s Day Walk Abreast 2026 yang berlangsung di Taman Awam Teluk Likas, di sini, pada Ahad.
Program tahunan bertemakan “Step by Step, Side by Side” itu disempurnakan pelepasan pesertanya oleh isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Datuk Hajah Juliah Salag.
Acara yang bermula seawal jam 7 pagi dengan sesi senamrobik itu diteruskan dengan aktiviti berjalan kaki sejauh kira-kira 4.8 kilometer melibatkan peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Penganjuran program oleh Sabah Kinabalu Pink Ribbon itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara serta memberi sokongan moral kepada para pemandiri kanser dan keluarga mereka.
Turut mengambil bahagian dalam program berkenaan ialah ahli-ahli Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), ahli keluarga pemandiri kanser payudara serta komuniti setempat.
Program tersebut turut menjadi platform untuk menggalakkan amalan gaya hidup sihat selain mengukuhkan semangat kebersamaan dalam menyokong perjuangan meningkatkan kesedaran terhadap pengesanan awal dan pencegahan kanser payudara dalam kalangan masyarakat.






