KOTA KINBALU, SABAH – Kes harian COVID-19 di negeri Sabah terus menurun dengan jumlah 271 KES baharu hari ini, iaitu 23 kes lebih rendah daripada jumlah kelmarin.
Daerah Kota Kinabalu merekodkan penurunan 22 kes dan sekaligus turun ke tangga kedua sebagai penyumbang kes baharu tertinggi Sabah.
“Jumlah kes terbaru di Tuaran (43) kini yang tertinggi di Sabah dengan pertambahan 10 kes berbanding kelmarin…
“Putatan menambah 15 kes baharu dan melonjak naik ke tempat ketiga tertinggi di tangga jumlah kes harian.
“Ranau terkeluar daripada kumpulan ‘Empat Serangkai’ dengan mencatat hanya lapan (8) kes baharu berbanding 28 kes kelmarin,” ulas Datuk Seri Masidi Manjun selaku Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah.
Katanya secara keseluruhan, jumlah kes baharu di kebanyakan daerah Sabah menampakkan penstabilan.
“Sebanyak 23 daripada 27 daerah di Sabah merekodkan jumlah kes baharu di bawah paras 20 kes mankala 17 daripadanya mencatat kes satu angka sahaja dan tidak ada kes baharu di enam (6) daerah,” tambahnya.
Masidi berkata sebanyak 271 kes atau 97 peratus dari pesakit hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2.
Dalam pada itu, empat (4) orang berada dalam Kategori 3 dan seorang dalam Kategori 4 manakala tiada pesakit dalam Kategori 5.
Sebanyak tiga (3) kes lagi masih dalam siasatan dan penilaian lanjut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.
“Seperti yang telah diumumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, kadar kebolehjangkitan Covid atau R0/RT pada jangkaan mengikut kes harian bagi seluruh negara kelmarin ialah 0.98 manakala bagi negeri Sabah pada 0.93,” katanya dalam sebuah rumusan harian.
Berikut merupakan pecahan kes positif COVID-19 negeri Sabah mengikut daerah hari ini (06 Dis) dibandingkan dengan angka kes kelmarin (dalam kurungan):
Tuaran – 43 (33)
Kota Kinabalu – 38 ( 60)
Putatan – 33 (18)
Kota Belud – 23 (13)
Penampang – 19 (18)
Beaufort – 17 (18)
Papar – 15 (14)
Keningau – 14 (18)
Tambunan – 11 (3)
Tawau – 10 (5)
Kudat – 9 (3)
Ranau – 8 (28)
Kota Marudu – 7 (10)
Sipitang – 6 (3)
Tenom – 6 (7)
Pitas – 4 (7)
Kuala Penyu – 3 (9)
Beluran – 2 (2)
Telupid – 1 (1)
Lahad Datu – 1 (3)
Sandakan – 1 (13)
Semporna – 0 (2)
Kinabatangan – 0 (1)
Kunak – 0 (2)
Nabawan – 0 (0)
Tongod – 0 (2)
Kalabakan – 0 (1)





