KOTA KINABALU, SABAH – Kes positif COVID-19 yang lewat didaftarkan punca kepada jumlah kes harian COVID-19 di Sabah merekodkan empat angka sejak kebelakangan ini.
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata tidak semuanya melambangkan jumlah kes yang didaftar dalam tempoh 24 jam.
“Jumlah kes yang diumum setiap hari tidak semestinya berlaku (apabila keputusan saringan diketahui) dan didaftar dalam tempoh 24 jam yang lalu…
“247 kes atau 9.02 peratus hari ini (semalam) adalah kes berdaftar lewat lebih lima hari, 223 kes, empat hingga lima hari dan 1012 kes atau 37 peratus berdaftar selepas dua hingga tiga hari keputusan saringan diketahui.
“Pendaftaran lewat ini berlaku kerana pengumpulan dan penyemakan data secara teliti serta membabitkan jumlah yang agak banyak.
“Malah semua maklumat ini juga datang dari pelbagai daerah di negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah berkata, kes harian COVID-19 di negeri ini kekal mencatatkan sebanyak empat angka dengan 17 kes kematian dilaporkan kelmarin (20 Ogos).

“Jumlah kes positif COVID-19 Sabah pada hari ini (kelmarin) ialah 2,738 kes iaitu peningkatan 155 kes berbanding 2,583 kes yang dicatatkan sebelumnya (19 Ogos)…
“Kota Kinabalu kekal sebagai daerah tertinggi kes COVID-19 dengan 454 kes,” katanya.