KOTA KINABALU, SABAH – Tindakan Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin, Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah yang mengumumkan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah membuktikan wujudnya gerakan awal yang telah dibuat bersama Parti Warisan Sabah untuk menggugat ketidakstabilan politik di negeri ini.
Demikian menurut Presiden PBS, Datuk Seri Panglima Dr. Maximus J Ongkili; Presiden STAR Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan; Presiden SAPP, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee dan Presiden USNO, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dalam satu kenyataan media bersama hari ini.
“Tindakan ini adalah susulan daripada kegagalan perancangan awal mereka pada 5 Januari 2023 baru-baru ini…

“Walau bagaimanapun, pengumuman tersebut tidak memberikan kesan terhadap kedudukan semasa YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor kerana keabsahan Ketua Menteri ditentukan melalui sokongan majoriti Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri berpandukan kepada Perlembagaan Negeri,” kata merela melalui kenyataan itu.
Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri Sabah dan sebarang kenyataan media parti-parti politik tidak memberikan kesan dari sudut perundangan.
“Pada masa yang sama, kami dengan ini mengesahkan bahawa Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah daripada GRS berdiri teguh menyokong penuh kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
“GRS merupakan sebuah parti politik dengan jumlah ADUN paling banyak dalam DUN Sabah.
“GRS juga menghargai sokongan majoriti ADUN-ADUN lain terhadap YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai Ketua Menteri termasuk daripada sokongan kolektif ADUN Pakatan Harapan (PH), ADUN-ADUN BN, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan) dan ADUN-ADUN Dilantik,” jelas mereka.
Dalam pada itu, mereka mengingatkan bahawa komitmen padu ini berpaksikan kepada kesedaran bahawa kepentingan rakyat dan negeri seharusnya diutamakan berbanding kepentingan sempit kepartian dan individu.
“Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk menghormati mandat rakyat dalam Pilihan Raya Negeri yang lalu…
“Sebarang gerakan untuk membentuk kerajaan dari pintu belakang dan tidak melalui proses pilihan raya adalah tindakan yang mengkhianati mandat rakyat dan seharusnya ditolak,” tambah mereka lagi.





