LONDON – Hasil yang positif daripada ujian rawatan untuk gejala COVID-19 telah diumumkan oleh syarikat pengeluar ubat dan vaksin AstraZeneca baru-baru ini.
Ubat yang dibuat daripada gabungan dua antibodi itu pada mulanya dibangunkan sebagai rawatan bagi mereka yang sudah terkena penyakit itu.
Memetik laporan AFP, AstraZeneca dalam satu kenyataan memaklumkan ujian baharu membabitkan seramai 5,197 peserta yang belum terdedah virus menunjukkan risiko penurunan 77 peratus (77%) untuk menghidap gejala penyakit, tanpa kes yang teruk direkodkan.
Ujian sebelum ini untuk ubat AZD7442 yang dilakukan Jun lalu, yang menunjukkan ia hanya mengurangkan risiko peningkatan gejala sebanyak 33 peratus disifatkan tidak signifikan secara statistik.
Penyelidik, Myron Levin, berkata data ujian baru menunjukkan satu dos dapat mencegah gejala COVID-19 dengan cepat dan berkesan.
“Dengan hasil yang menarik ini, AZD7442 dapat menjadi alat penting untuk membantu orang yang mungkin memerlukan lebih daripada vaksin untuk kembali ke kehidupan normal mereka,” katanya.
Ubat itu diharap dapat digunakan bersama vaksin bagi yang memerlukan lebih banyak perlindungan untuk bertahan sehingga selama 12 bulan.
Peserta adalah individu dewasa yang kurang memberi tindak balas terhadap vaksin atau yang mempunyai risiko peningkatan jangkitan kerana lokasi atau keadaan mereka.
Kerajaan Amerika Syarikat (AS) membiayai pembangunan AZD7442 dan mempunyai perjanjian untuk menerima 700,000 dos.
Menerusi kajian itu, data sudah dihantar kepada pihak berkuasa kesihatan untuk kemungkinan penggunaan kecemasan atau kelulusan bersyarat.