UMNO Penampang Tidak Akan Melobi Calon Pada PRU-15 Akan Datang

UMNO Penampang Tidak Akan Melobi Calon Pada PRU-15 Akan Datang

0
SHARE

PENAMPANG, SABAH – UMNO Bahagian Penampang tidak akan melobi calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang, sebaliknya menyokong rakan komponen dalam Barisan Nasional (BN).

Ketua UMNO Penampang, Datuk Mohd Hasnol Ayub berkata, setakat ini hasrat mereka cuma untuk membantu rakan yang diberikan peluang menjadi calon.

Apabila ditanya jika calon itu daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), katanya ia masih terlalu awal untuk diputuskan.

“Sekarang kita tidak tahu keadaan sebenar, tapi yang jelas ialah rakan komponen Barisan Nasional iaitu MIC, MCA dan PBRS…

“Keputusan itu akan diambil pihak tertinggi. Kita cuma menjalankan arahan tugasan yang diberikan,” katanya pada persidangan UMNO Bahagian P.174 Penampang kelmarin.

Penampang sejak tahun 2008 menjadi kubu pembangkang setelah bekas komponen Barisan Nasional, UPKO, tewas di kawasan tersebut yang mana majoriti pengundi adalah penduduk bukan Islam.

Namun begitu, Hasnol yakin UMNO berada dalam landasan cukup kuat.

“Dulu agenda reformasi dijadikan laungan pihak pembangkang tapi nyata yang mendokong dan meluluskan di Dewan Rakyat dibawa oleh kerajaan yang ditunjangi UMNO…

“UMNO yang memelihara aspiriasi termasuk Perjanjian Malaysia 1963, Undi 18, Undang-undang Anti Lompat Parti dan sebagainya.

“Kelainan dalam UMNO sekarang adalah parti ini melihat kepada masa hadapan dan aspirasi rakyat secara keseluruhannya,” tambahnya.

Mengulas tentang khabar percubaan dalam parti untuk menjatuhkan presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi daripada jawatannya, Hasnol berkata beliau tidak sedar berita seperti itu sedang disebar.

Walaubagaimanapun, katanya meskipun Naib Presiden parti, Datuk Seri Ismail Sabri merupakan Perdana Menteri, perkara itu sepatutnya tidak membawa percangahaan kepada pentadbiran.

“Tidak bagus menjadikan andaian seperti ini sebagai isu. Belum ada dalam sejarah di mana Perdana Menteri itu datang daripada seorang yang bukan berjawat presiden dalam UMNO…

“Tetapi itu UMNO yang dahulu. Dahulu tiada Undi 18 mahupun reformasi yang lain. Lihat gambaran besar, kita mesti dinamik mengikut peredaran masa bagi memenuhi cita rasa rakyat,” katanya.

Menurut beliau, presiden UMNO itu merupakan lambang institusi dan apapun keputusan pusat dan negeri, Bahagian Penampang akan mengangkat apa yang diperlukan.