100 Klinik Kesihatan Kayu Akan Diganti Dengan Bangunan Konkrit Dalam Tempoh 2...

100 Klinik Kesihatan Kayu Akan Diganti Dengan Bangunan Konkrit Dalam Tempoh 2 Tahun – James

0
SHARE
Datuk James Ratib, Menteri KPMKR Sabah

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah menyasarkan 90 hinggga 100 klinik kesihatan daif dan diperbuat dari kayu di negeri ini untuk digantikan dengan bangunan konkrit dalam tempoh dua tahun ini.

Menterinya, Datuk James Ratib berkata, keadaan klinik kesihatan di negeri ini amat daif serta memalukan Sabah, sedangkan klinik-klinik di negeri lain sudah dibangun bangunan konkrit yang baharu. 

“Di Sabah ini hampir 100 klinik kesihatan yang diperbuat daripada kayu tetapi di Semenanjung, Sarawak sudah tidak ada (klinik kayu). Bukankah ini memalukan kita? Saya sendiri yang turun padang (lihat klinik kayu) dan kita akan diselesaikan pada tahun 2025.

“Kita mahu dalam tempoh dua tahun ini jumlah klinik kayu sifar di Sabah, tidak ada lagi klinik kayu. Semua bangunan konkrit macam di Semenanjung,” katanya dalam sidang media khas KPMKR mengenai pembinaan klinik kesihatan seluruh Sabah di sini, hari ini.

Jelasnya lagi, keadaan bangunan klinik kesihatan yang daif di negeri ini bukan saja berlaku di kawasan pedalaman tetapi turut boleh dilihat di kawasan bandar termasuk di Tuaran dan Kota Kinabalu.

“Di bandar pun daif juga, lihat di Tuaran dan di Luyang bangunannya retak di sana sini. Itu di kawasan bandar, apa lagi di luar bandar. Ada yang tiada tangga, tiada tangki, jalan raya pun teruk.

“Kita saja yang memalukan, 60 tahun merdeka masih lagi klinik daif diperbuat daripada kayu dan bila saya bermesyuarat di kementerian di Putrajaya, Sabah saja banyak klinik kayu. Kadang-kadang saya tutup mata sebab malu,” ujarnya.