PM Puji Zahid Berani Pertahankan UMNO

PM Puji Zahid Berani Pertahankan UMNO

0
SHARE
Anwar
Anwar ketika ceramah Jelajah Perpaduan Madani Alor Setar di Alor Mengkudu ( Sumber Foto: Laman media sosial Facebook rasmi Perdana Menteri )

ALOR SETAR, KEDAH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memuji tindakan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana berani mempertahankan UMNO sebagai parti yang memperjuangkan kemerdekaan.

Memetik sumber Berita Harian, beliau berkata, Ahmad Zahid dilihat berani menghadapi risiko dan terus berjuang demi UMNO berbanding kelompok ahli UMNO yang keluar parti sebelum ini.

Walaupun timbalan perdana menteri itu berdepan pelbagai pertuduhan kes di mahkamah, beliau tetap mahu menyelamatkan UMNO daripada dibubarkan.

“Sikap dan integriti Ahmad Zahid wajar dihargai dan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan BN harus dikukuhkan untuk keharmonian Kerajaan Perpaduan.

“Ada orang hina Ahmad Zahid, memang beliau berdepan kes mahkamah namun kita tak boleh nafikan satu perkara, iaitu beliau ada keberanian.

“Orang lain kalau Tun Dr Mahathir Mohamad panggil dan suruh tutup UMNO, kalau tak tutup nanti kena (tindakan). Namun abang saya (Ahmad Zahid) jawab tak boleh tutup kerana UMNO parti orang Melayu dan ada sejarah perjuangan kebangsaan. Saya ‘salute’ untuk itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ceramah Jelajah Perpaduan Madani Alor Setar di Alor Mengkudu, malam tadi.

Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan rasa hormat kepada bekas Musyidul Am PAS, Allahyarham Tan Sri Abdul Aziz Nik Mat yang disifatkan memiliki integriti yang tinggi.

“Sebab apa kita kasih kepada tuan guru Nik Aziz. Dia daripada PAS tapi kita hormat sebab beliau ada integriti, tak ambil tanah, tak ambil balak dia tak curi.

“Tapi ada pula yang masih ada kuasa, tanah projek kamu sakau nak cakap banyak apa?” katanya.

Sehubungan itu, Anwar sekali lagi menepis dakwaan beliau mengadap Sultan Kedah bersama usahawan Indonesia, Reza Khalid untuk mendapatkan tanah di Kedah bagi tujuan penerokaan unsur nadir bumi (REE).

“Bukan saya panggil jumpa minta tanah, tak ada, bukan macam kamu dan rakan-rakan kamu. Saya tak gunakan kuasa curi harta rakyat untuk memperkayakan diri dan ahli keluarga,” katanya.

Anwar turut meminta pengundi memilih Kerajaan Perpaduan dalam pilihan raya negeri (PRN) selari dengan kempen ‘kalih bagi sama’ yang dilaungkan ribuan penyokong pada program malam tadi.

“Pastikan Kedah ini kita kalih bagi sama, sebab apa? Sebab senang nak runding macam-macam untuk manfaat rakyat. Program kita sekarang melonjak termasuk pelaburan di Kulim High Tech Park bawah Persekutuan, memang terletak di Kulim tetapi itu adalah projek Persekutuan.

“Selain itu Arab Saudi setuju menjadikan Malaysia sebagai pusat pelaburan rantau ini, dengan itu kita harus pertingkatkan kemahiran untuk negara ini lebih maju,” katanya.