KOTA KINABALU, SABAH – Pertambahan bilangan kluster baharu yang semakin aktif di negeri ini mencetuskan kerisauan semua penduduk Sabah. Ini selepas Jurucakap COVID-19 negeri Sabah pada malam tadi memaklumkan sebanyak EMPAT (4) kluster baharu dikesan setakat kelmarin (Sabtu).
Kluster KKIP Empat Timur di Kota Kinabalu merupakan penularan jangkitan yang berlaku di dua kilang papan iaitu di Jalan Tuaran, Telipok dan KKIP Industrial Zone.
“Kes indeks adalah lelaki, 51 yang disahkan positif hasil saringan bergejala di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah pada 6 Julai 2021.”
Kluster Grandview di Sandakan, yang tular ke Putatan dan Penampang juga merupakan kluster tempat kerja di sebuah syarikat kontraktor pembinaan di daerah Sandakan.
“Kes indeks adalah lelaki, 22, yang disahkan positif di Kota Kinabalu pada 28 Jun, selepas bergejala demam, sakit badan, muntah-muntah dan cirit birit sejak 25 Jun dan kes ini didaftarkan di daerah Putatan.”
Kluster Balak Penangah di Tongod melibatkan jangkitan dalam kalangan pekerja kilang pemprosesan kayu balak di Mukim Penangah.
“Kes indeks adalah lelaki, 47, pemandu jentera berat di syarikat terbabit. Kes relay dimasukkan ke Hospital Keningau pada 6 Julai 2021 kerana positif Malaria (PK) dan telah disahkan positif COVID-19 pada hari yang sama setelah menjalini saringan prakemasukan wad.”
Manakala Kluster Jalan Membalua di Tawau berlaku dalam komuniti di Mukim Balung.
“Kes indeks merupakan lelaki, 24, bukan warganegara, bekerja sebagai buruh kasar di ladang pemprosesan ayam dekat Jalan Membalua dan disahkan positif melalui saringan bergejala di Klinik Mayfair Tawau bulan ini…
“Kes indeks dan keluarganya tinggal bersama lebih 50 rakan sekerja termasuk ahli keluarga masing-masing dalam kuaters rumah pekerja ladang tersebut di mana semua 12 ahli keluarga kes indeks didapati positif pada 8 Julai,” jelas Masidi.
Sementara itu, Sabah mencatatkan jumlah kes positif baharu COVID-19 kelmarin (Sabtu) sebanyak 251 KES. Walaupun berlaku penurunan 72 kes dari sebelum ini, angka itu masih dianggap membimbangkan.

Pada masa yang sama, sesuai dengan kenyataan Ketua Menteri Sabah pada Sabtu, kebenaran untuk ‘dine-in’ tersebut masih lagi berkuatkuasa namun hidangan buffet (layan diri) adalah tidak dibenarkan bagi mengawal pergerakan tidak perlu oleh pelanggan-pelanggan semasa berada dalam restoran.

“Hidangan yang dipesan hendaklah dihantar dan dihidang oleh kakitangan restoran di meja pelanggan. Peraturan ini diguna pakai di semua restoran termasuk restoran hotel,” tegas Masidi.





