Hari Pertama SPSS di Sinsuran Terima Sambutan Baik

Hari Pertama SPSS di Sinsuran Terima Sambutan Baik

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pelaksanaan hari pertama Sistem Pelupusan Sampah Sendiri (SPSS) di Kompleks Sinsuran pada Jumaat (1 Ogos) menerima sambutan memberangsangkan daripada penduduk serta pengusaha premis perniagaan di kawasan sekitar.

Kutipan pertama telah dijalankan pada jam 10 pagi di Lorong Sinsuran, diikuti dengan kutipan kedua pada jam 10.30 pagi di Lorong Gomantong.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam memastikan kebersihan dan kelestarian persekitaran bandaraya.

DBKK mengingatkan bahawa tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Anti Litter 1984 (Pindaan 2005).

Mana-mana pihak yang didapati membuang sampah merata-rata di luar masa kutipan SPSS boleh dikenakan kompaun minimum RM20 dan maksimum RM500 bagi setiap kesalahan.

Sehubungan itu, DBKK menyeru semua penduduk dan pemilik premis untuk mematuhi jadual kutipan yang telah ditetapkan serta menguruskan sampah dengan cara yang betul demi kebersihan dan kesejahteraan bersama.

Komitmen dalam pengurusan sisa secara berhemah amat dihargai bagi menjayakan inisiatif ini.

“Bersama kita jayakan SPSS demi mewujudkan persekitaran Bandaraya Kota Kinabalu yang lebih bersih, hijau dan lestari,” kata kenyataan DBKK.

Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini inisiatif dan program kebersihan melalui akaun media sosial Facebook dan TikTok “KK Bersih dan Hijau”.