Pelaksanaan Dasar Baharu Wajibkan Guna BM Dalam Semua Surat Rasmi “Seeloknya” Diselaras...

Pelaksanaan Dasar Baharu Wajibkan Guna BM Dalam Semua Surat Rasmi “Seeloknya” Diselaras Dengan Kerajaan Sabah, Sarawak 

0
SHARE
Salleh
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak

KOTA BELUD, SABAH – Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pelaksanaan dasar baharu, termasuk mewajibkan penggunaan bahasa Malaysia dalam urusan surat-menyurat rasmi “seeloknya” diselaras terlebih dahulu dengan kerajaan Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan kelancaran pelaksanaan dasar baharu itu demi kebaikan bersama.

“Tidak dinafikan Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan di Malaysia dan kita mengalu-alukan dasar baharu ini, namun kepentingan penguasaan Bahasa Inggeris tidak dapat dipertikaikan.

“Ini kerana bahasa Inggeris sebagai bahasa global digunakan dengan meluas dan perlu dikuasai terutama kakitangan awam yang berurusan dengan luar negara dan golongan pelajar yang akan meneroka bidang ilmu dalam bidang pendidikan, seterusnya diaplikasi dalam dunia pekerjaan,” katanya.

Salleh yang juga ADUN Usukan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang (MAPEC) SMK Pekan 2023 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Kota Belud Laugan Iman dan
Pengetua SMK Pekan Kota Belud Junainah Baharudin.

Terdahulu, dalam ucapannya, Salleh berkata usaha bersepadu, termasuk ibu bapa, penting bagi membantu merealisasikan wawasan negara untuk mencapai standard pendidikan berkualiti di persada antarabangsa.

Beliau berkata ke arah itu, pelbagai inisiatif telah diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi mencapai sasaran itu, termasuk memperkenalkan konsep Anak yang Baik lagi Cerdik (ABC).

Beliau berkata konsep ABC itu bertujuan, antara lain, mendidik anak-anak atau murid menjadi anak yang baik lagi cerdik.

“Konsep ini juga adalah selaras dengan dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis,” katanya.

Salleh berharap konsep ABC bukan sahaja dapat melahirkan masyarakat yang saling menyokong antara satu sama lain, tetapi juga mendidik para pelajar untuk menjaga kesantunan dan disiplin, mematuhi undang-undang serta menggalakkan persaingan sihat sesama mereka.

Selain itu, beliau berkata KPM turut melaksanakan pelbagai program lain, termasuk program yang meningkatkan penglibatan ibu bapa dengan pembelajaran anak-anak serta menggalakkkan penglibatan komuniti dengan sekolah.