GENEVA, SWITZERLAND – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa COVID-19 varian Omicron yang sudah mengorbankan banyak nyawa di seluruh dunia tidak boleh lagi dianggap ringan.
Memetik laporan AFP, Ketua WHO iaitu Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata rekod bilangan pesakit dijangkiti varian itu, yang lebih pantas merebak berbanding Delta di banyak negara, memberi isyarat kemudahan penjagaan kesihatan dan hospital semakin dibebani.
“Walaupun Omicron dilihat tidak seteruk jangkitannya berbanding Delta, terutama bagi mereka yang divaksin, ini tidak bermakna ia harus dikategorikan sebagai ringan…
“Sama seperti varian sebelumnya, Omicron menyebabkan lebih ramai orang terpaksa dimasukkan ke hospital dan ia membunuh.
“Malah, gelombang kes adalah sangat besar lagi pantas, sekali gus memberi tekanan kepada sistem penjagaan kesihatan di seluruh dunia,” katanya pada satu sidang media.
Tedros berkata, kira-kira 9.5 juta kes baharu COVID-19 dilaporkan kepada WHO minggu lalu, meningkat 71 peratus berbanding minggu sebelumnya yang mencatatkan rekod baharu.
“Namun, angka ini mungkin jauh lebih rendah kerana tidak mengambil kira hasil ujian yang tertangguh akibat musim cuti hujung tahun selain ujian kendiri positif yang tidak didaftarkan serta kes yang terlepas pandang akibat terlalu banyak.”
Sementara itu, Ketua Teknikal COVID-19 WHO, Maria Van Kerkhove, berkata peluang Omicron akan menjadi varian membimbangkan (VOC) yang terakhir adalah sangat tidak mungkin.
Katanya, dalam berdepan Omicron yang lebih mudah berjangkit itu, orang ramai digesa mengambil langkah yang disyorkan sebelum ini untuk melindungi diri sendiri.
“Lakukan semua yang kami nasihatkan dengan lebih baik, lebih komprehensif dan lebih bermatlamat. Kami berharap orang ramai mampu bertahan dan berjuang,” katanya.
Van Kerkhove turut mengingatkan orang ramai supaya memakai pelitup muka dengan betul bagi melindungi diri mereka daripada penyebaran virus.
“Ia perlu menutup bahagian hidung dan mulut, memakai pelitup muka di bawah dagu adalah tidak berguna sama sekali,” katanya.