KOTA KINABALU, SABAH – Orang ramai dijemput memeriahkan Pelancaran Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2024 di Dewan Masyarakat Ranau mulai jam 6.30 pagi, Rabu ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Dr Jeffrey G. Kitingan berkata, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan pada sambutan berkenaan malah ada beberapa aktiviti yang sudah pun bermula.
“Seperti biasa, kita akan menyediakan pelbagai persembahan kebudayaan juga pertandingan seperti pertandingan makanan tradisi, pertandingan Hiis, Manangon, Sugandoi dan Unduk Ngadau.
“Dari segi persediaan, saya yakin mereka sudah bersedia dan beberapa acara tapisan sudah pun berlangsung dan gerai-gerai jualan juga telah mula beroperasi.
“Saya berharap agar pelancaran ini akan berjalan dengan baik dan semua pengunjung pulang dengan ingatan yang positif berkenaan dengan sambutan ini,” ujarnya ketika ditemui media selepas ditemubual dalam Slot Kami Bah Ini! di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, pada Isnin.
Jeffrey yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2024 memaklumkan beliau juga memberi peringatan agar sambutan ini diraikan dengan penuh tanggungjawab.
Sementara itu, bagi sambutan di peringkat daerah, Jeffrey menasihatkan agar penganjur untuk turut mengambil kira kelebihan dan potensi daerah dan mempromosikannya melalui pertandingan yang diadakan.
“Ini merupakan kesempatan untuk kita mempromosikan pelancongan dan juga pelaburan supaya daerah kita dikenali di mata dunia,” tambahnya. — JABATAN PENERANGAN SABAH