Alexander Nanta Nafi Terlibat Skandal Rasuah Pan Borneo, Buat Laporan Polis

Alexander Nanta Nafi Terlibat Skandal Rasuah Pan Borneo, Buat Laporan Polis

0
SHARE

KOTA KINABALU: Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi menafikan dakwaan yang mengaitkan beliau dengan skandal rasuah berkaitan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah (WP35).

Tuduhan tersebut mula tersebar melalui satu mesej yang dipercayai disebarkan di saluran Telegram dan turut dikongsi di beberapa platform media sosial.

Mesej berkenaan secara langsung mendakwa beliau terlibat dalam aktiviti rasuah, yang menurut beliau adalah “fitnah, tidak berasas dan berniat jahat.”

“Saya menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan tersebut,” teganya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, sebagai seorang ahli politik dan penjawat awam, tuduhan tersebut bukan hanya merosakkan imej peribadi beliau, tetapi juga mencemarkan reputasi Kementerian Kerja Raya dan Kerajaan Malaysia secara keseluruhan.

“Tuduhan ini bukan sahaja menjatuhkan imej saya, malah turut mencemar reputasi Kementerian Kerja Raya dan Kerajaan Malaysia,” katanya lagi.

Alexander juga menyatakan kebimbangan tentang penularan mesej tersebut yang telah menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

“Mesej ini telah tersebar luas di Telegram dan media sosial, menimbulkan persepsi negatif dan prasangka terhadap saya,” tambahnya.

Sehubungan itu, beliau melalui Setiausaha Sulit Kanan telah membuat laporan polis di Balai Polis Tun H.S. Lee pada Rabu (7 Mei) untuk menafikan tuduhan tersebut dan meminta pihak berkuasa untuk melakukan siasatan segera.

“Saya akan memberikan komitmen penuh untuk bekerjasama dalam apa jua bentuk bagi membantu siasatan,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa fitnah tidak boleh diterima dan tidak seharusnya digunakan untuk menjatuhkan reputasi individu demi agenda peribadi atau kepentingan politik.

“Fitnah tidak boleh menjadi alat untuk menjatuhkan reputasi mana-mana individu, lebih-lebih lagi demi kepentingan politik atau agenda peribadi,” katanya.