Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia Bernilai RM40 Bilion Dilancarkan

Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia Bernilai RM40 Bilion Dilancarkan

0
SHARE
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob...

KUALA LUMPUR – Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia bernilai RM40 bilion untuk memberi manfaat kepada golongan usahawan Malaysia telah dilancarkan hari ini, lapor Berita Harian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program itu merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti terutama untuk Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) dan sektor informal.

“Setelah hampir dua tahun berhadapan dengan cabaran pandemik Covid-19, tahun ini bukan sahaja akan menjadi tahun pemulihan, malah ia juga akan menjadi tahun untuk menyusun semula atau reform.

“Kepada komuniti PMKS, saya berharap agar Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia akan menjadi pemangkin kepada pemulihan dan penyusunan semula perniagaan anda semua,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran program itu di Hotel Hilton, di sini. Turut hadir Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sumber Foto Bernama

menerusi program ini, pinjaman sehingga RM10,000 pada kadar faedah kosong akan ditawarkan kepada perniagaan mikro dan kecil…

Keutamaan diberikan kepada peniaga sektor informal melalui Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro TEKUN Nasional atau CBRM dengan saiz dana RM200 juta.

Menurut Ismail Sabri, bagi usahawan agro-makanan pula, skim mikro kredit oleh Agrobank akan menawarkan pinjaman sehingga RM75,000 pada kadar kosong peratus untuk enam bulan pertama berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan.

Tambah beliau, bagi perniagaan yang lebih matang, institusi kewangan seperti SME Bank akan menawarkan pinjaman sehingga RM10 juta di bawah skim IBS Promotion Fund 2.0 dan RM1 juta di bawah Program Pembiayaan Usahawan Muda 2.0 (YEF 2.0).

Jelas beliau, secara kolektif saiz dana untuk kedua-dua skim itu berjumlah RM300 juta.

Beliau berkata, untuk syarikat yang berdaya maju namun mempunyai kekangan mendapatkan dana baharu, kerajaan dan institusi kewangan telah merangka suatu pembiayaan bentuk baharu yang lebih anjal bagi meluaskan keupayaan untuk memulihkan perniagaan.

“Salah satunya ialah melalui kaedah ‘equity crowd funding’ dan ‘peer-to-peer financing’ yang akan disokong dengan peruntukan RM80 juta secara geran padanan untuk Malaysia Co-investment Fund, tambahan kepada pelaburan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) sebanyak RM100 juta,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, bagi membantu syarikat yang berdepan masalah keberhutangan yang tinggi, kaedah pendanaan melebihi RM2.1 bilion melalui pelaburan ekuiti dan ‘quasi-equity’ turut disediakan.

Menurut beliau, kaedah itu diterajui oleh SME Bank dengan dana bernilai RM600 juta, manakala BPMB akan menawarkan Skim RESET atau Rehabilitation and Support Through Equity’ dengan saiz dana RM500 juta.

Kata Perdana Menteri, Bank Negara Malaysia (BNM) juga menyediakan ‘Business Recapitalisation Facility’ bernilai RM1 bilion untuk tujuan yang sama.

“Secara keseluruhan sejumlah RM13 bilion dana tersedia untuk PKS. Untuk ketersediaan dana yang berterusan, dana khas BNM terutamanya ‘Targeted Relief and Recovery Facility dan Agrofood Facility’ telah ditingkatkan secara kolektif sebanyak RM2.5 bilion kepada RM10 bilion.

“Jumlah ketersediaan pelbagai dana PKS BNM pada masa ini adalah sebanyak RM10 bilion,” katanya…

Selain itu, kata beliau, Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia turut merangkumi jaminan pembiayaan perniagaan.

“Dalam perkara ini, skim dibawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) akan ditambah baik dengan menyediakan jaminan untuk pembiayaan yang dijadual dan distruktur semula dengan tambahan had jaminan RM17 bilion.

“Ini akan membantu syarikat mendapatkan pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperolehi,” katanya.