Liga Muslim Dunia Agih Bakul Makanan Ramadan kepada Keluarga Memerlukan di Sabah

Liga Muslim Dunia Agih Bakul Makanan Ramadan kepada Keluarga Memerlukan di Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Liga Muslim Dunia (Muslim World League, MWL) berjaya melaksanakan Program Pengagihan Bakul Makanan Ramadan di Sabah pada 12 hingga 13 Februari lalu sempena Ramadan 1447 Hijrah.

Delegasi MWL diketuai Pengarah Muslim World League Malaysia, Dr Mohammed Ahmed Gharawi, bersama wakil ibu pejabat MWL di Makkah iaitu Ahmed Abdulwahab Khalil, Pakar Pentadbiran – Pejabat Timbalan bagi Bantuan, Kebajikan dan Pembangunan serta Hossam Youssef Ezzeldin Mohamed, Penganalisis Sistem – Pejabat Timbalan Menteri bagi Bantuan, Kebajikan dan Pembangunan.

Sepanjang lawatan dua hari di Kota Kinabalu, delegasi MWL mengagihkan bakul makanan mengandungi barangan keperluan asas kepada keluarga kurang berkemampuan di beberapa lokasi terpilih di Sabah.

Delegasi turut mengadakan kunjungan hormat serta perbincangan bersama Mufti Sabah bagi memperkukuh kerjasama institusi dalam hal ehwal kebajikan komuniti dan urusan keagamaan.

Selain itu, pertemuan strategik turut diadakan dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan tempatan termasuk Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) dan Hidayah Centre Foundation bagi menyelaras bantuan kemanusiaan secara lebih tersusun dan berfokus kepada golongan rentan.

Program berkenaan turut diserikan dengan penglibatan selebriti tempatan, Atu Zero, yang menyertai aktiviti pengagihan, sekali gus membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan tanggungjawab bersama dalam membantu golongan memerlukan sepanjang Ramadan.

Selain pengagihan bantuan, lawatan tersebut menjadi platform perbincangan mengenai potensi kerjasama jangka panjang antara MWL dan rakan strategik tempatan, termasuk dalam bidang keselamatan makanan, sokongan pendidikan, pembangunan kapasiti serta program kebajikan mampan untuk komuniti kurang berkemampuan di Sabah.

MWL menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh jaringan kemanusiaan di Malaysia serta memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan, khususnya di kawasan yang berdepan cabaran sosioekonomi.