Kaji Persempadanan Semula Kawasan Parlimen Sabah – Amisah

Kaji Persempadanan Semula Kawasan Parlimen Sabah – Amisah

0
SHARE
Datuk Amisah Yassin...

KOTA KINABALU, SABAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin menggesa kerajaan untuk menambahbaik semula Perjanjian Malaysia 1963 dengan mengkaji persempadanan semula kawasan-kawasan Parlimen di Sabah.

Katanya, kajian semula itu melibakan penambahan kerusi yang mungkin sesuai dengan keadaan dan keperluan semasa.

“Ini perlu kerana keadaan dan keperluan semasa juga berubah…

“Sesetengah kawasan Parlimen terlalu besar dan sukar untuk dilaksanakan proses pemantauan dan pembangunan.

“Langkah terbaik adalah untuk melaksanakan tugas dengan efisien kepada rakyat dan pengundi adalah tidak lain tidak bukan, mempercepatkan proses persempadanan semula khususnya bagi Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucapan perbahasan belanjawan 2023 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Isnin.

Menurut Amisah lagi, usaha pembangunan juga difokuskan kepada kaum wanita dengan mewujudkan Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga.

“Ini wajar dengan keperluan semasa termasuk banyak penglibatan dan sumbangan wanita kepada masyarakat…

“Kini tiba masanya untuk kementerian ini diwujudkan di Sabah, sepertimana yang wujud di Kerajaan Persekutuan dan juga negeri Sarawak,” katanya.

Tambah beliau lagi, kementerian itu perlu diwujudkan bagi memainkan peranan dalam menggubal, melaksana serta mengembangkan keupayaan wanita bagi menghadapi dunia ekonomi dan sosial secara lebih efektif dan komprehensif.

“Banyak aspek boleh dilaksanakan melalui kementerian ini dan ia akan lebih berfokus…

“Misalnya program pembangunan wanita dalam bidang ekonomi, kepakaran intelektual bermula dari kanak-kanak, remaja di pusat pengajian tinggi, institusi latihan kemahiran dan sebagainya,” tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Amisah turut menegaskan bahawa program yang berunsurkan pembangunan dan pemerkasaan wanita adalah amat penting dalam meningkatkan lagi penglibatan dan penyertaan wanita dalam sektor ekonomi dan sosial.

Katanya, hal itu termasuk penglibatan wanita secara aktif dalam bidang politik dan pemerkasaan komuniti rakyat.

“Tidak mustahil usaha ini dilaksanakan kerana wanita mempunyai kekuatan menjaga keluarga, menguruskan rumah-tangga dan tidak mustahil untuk wanita menjadi pemimpin…

“Saya mencadangkan, untuk masa akan datang, khasnya Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, calon wanita perlu diketengahkan kerana kita mempunyai 73 DUN dan kita perlu sekurang-kurangnya 10 hingga 20 ADUN dari kalangan wanita.

“Selain itu, untuk perjawatan dalam kabinet pula, hendaklah dilantik dua wanita sebagai Menteri penuh serta enam pembantu menteri wanita.

“Saya merasakan cadangan ini wajar dipertimbangkan secara serius memandangkan peratusan kaum wanita pada masa ini sudah jauh meningkat dan turut menjadi penyumbang utama kepada kemajuan ekonomi dan pembangunan sosial rakyat,” katanya lagi.

Amisah turut meminta agar suara wanita dalam peringkat membuat keputusan turut diambil kira kerana penglibatan wanita dalam bidang politik sudah semakin luas.

“Ianya bukan semata-mata untuk kesaksamaan gender, tetapi ianya lebih kepada memperjuangkan suara dan keperluan golongan wanita secara menyeluruh.

“Maka, selaras dengan hasrat untuk mereformasikan DUN Sabah, saya mencadangkan pada PRN akan datang, sekurang-kurangnya 30 peratus kerusi DUN perlu diisi oleh kaum wanita, termasuk juga 30 peratus Ahli Dewan Negara yang juga terdiri daripada kaum wanita.

“Wanita juga boleh dilantik untuk menganggotai syarikat kerajaan (GLC) bagi memastikan isu dan keperluan wanita diambil kira sebagai pembuat dasar.

“Wanita yang layak dan berkebolehan perlu dilantik sebagai pengerusi GLC, dan tampil sebagai ketua dalam membuat keputusan dan dasar,” tambahnya lagi.