KUCHING, SARAWAK – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyambut baik cadangan melantik Timbalan Perdana Menteri (TPM) dari Sabah atau Sarawak.
Bagaimanapun, beliau berharap agar jawatan berkenaan ‘diberikan’ kuasa sebenar sesuai dengan kedudukan berkenaan.
“Kita mahu jawatan itu bukan sekadar ceremonial post. Kalau tidak, ianya hanya sekadar jawatan bersifat istiadat sahaja kerana ada protokol tertentu perlu dipatuhi oleh TPM, itu kita tidak mahu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Deepavali keluarga Shankar Asnani di sini hari ini seperti dipetik TVS.
Abang Johari berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam yang jawatan TPM dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia akan diwujudkan dalam manifesto BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Ahmad Zahid berkata, perkara itu dilaksanakan sekiranya mereka mendapat kemenangan besar serta membentuk Kerajaan Persekutuan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, mereka akan mengekalkan cadangan sebelum ini supaya dua jawatan itu diwujudkan jika gabungan itu dipilih menerajui kerajaan selepas PRU-15 ini iaitu masing-masing dari Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.