DINAJPUR, BANGLADESH – Seorang remaja wanita sanggup menjual darah miliknya sendiri bagi merealisasikan impiannya untuk membeli telefon pintar telah mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai.
Remaja wanita yang berusia 15 tahun itu dilaporkan telah pergi ke salah sebuah bank darah untuk menjual darahnya.
Menurut pihak berkuasa, remaja berkenaan telah menempah telefon pintar berharga RM516 ( Rs9,000) secara dalam talian. Bagaimanapun, dia tidak mempunyai wang cukup untuk membayarnya.
Dalam percubaan terdesak, dia memutuskan pergi ke hospital daerah di Balurghat dan menjual darahnya sebagai pertukaran untuk mendapatkan wang itu.
Menurut India.com, remaja wanita itu meninggalkan rumahnya pada 17 Oktober dan memberitahu keluarganya dia menghadiri tuisyen.
Dia kemudian meninggalkan basikalnya di perhentian bas dan menaiki bas menuju Balurghat sejauh 30 kilometer.
Ketika ditanya tujuannya menjual darah, dia berkata telefon pintar ditempahnya dihantar tidak lama lagi, tetapi dia tidak mempunyai wang cukup untuk membayarnya, berikutan itu tercetus idea menjual darah untuk mengumpul wang.
Pihak pengurusan bank darah bagaimanapun berjaya memujuk gadis itu dan menghalang dia menjual darahnya.
Mereka kemudian memaklumkan kes tersebut kepada Childline India.
Gadis itu diberi kaunseling dengan bantuan jawatankuasa kebajikan kanak-kanak (CWC) daerah sebelum diserahkan kepada ibu bapanya.