Tambang Penerbangan Mahal Menyukarkan Pelajar Sabah Pulang Mengundi PRU-15

Tambang Penerbangan Mahal Menyukarkan Pelajar Sabah Pulang Mengundi PRU-15

0
SHARE
Presiden Markas Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS), Mohd Shahrul Izzat Basri...

KOTA KINABALU, SABAH – Tambang penerbangan yang mahal membuatkan pelajar Sabah di Semenanjung Malaysia yang berhasrat untuk pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti berkemungkinan bakal berdepan dengan kebimbangan terpaksa melupakan tanggunjawab terbabit.

Presiden Markas Siswa Siswi Islam Sabah (MARSIS), Mohd Shahrul Izzat Basri dan Timbalan Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) Sabah, Mohd Faizal Kambah dalam satu kenyataan media bersama menyuarakan kebimbangan tersebut.

Berdasarkan kenyataan itu, mereka menyifatkan penerbangan ke Sabah masih berada pada tingkat harga yang mahal dan bersifat harga ‘Yahudi’.

Mereka berkata walaupun cuti pelepasan selama lima hari diberikan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar pelajar dapat pulang mengundi tetapi ia tidak bermakna jika pelajar tidak dapat pulang berikutan tidak mampu membayar harga tambang penerbangan mahal.

“Terima kasih kepada KPT atas satu inisiatif yang baik daripada kementerian untuk menggalakkan mahasiswa pulang mengundi pada PRU-15.

“Namun, terdapat perkara yang mengecewakan mahasiswa khususnya kepada anak Sabah iaitu harga tiket penerbangan ke Sabah masih berada pada tingkat harga yang mahal dan bersifat harga ‘Yahudi’…

“Ini sebenarnya antara kerisauan kepada mahasiswa apabila mereka tidak dapat pulang untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi.

“Isu tiket penerbangan mahal ke Sabah ini bukanlah suatu perkara yang baharu, tetapi isu ini boleh disebutkan sebagai senario tahunan yang akan dibangkitan,” kata mereka.

Timbalan Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) Sabah, Mohd Faizal Kambah…

Dalam pada itu, mereka turut berkata perkara ini sepatutnya menjadi kebimbangan bersama KPT, Menteri Pengangkutan, Menteri Tugas -Tugas Khas dan Ketua Menteri Sabah kerana bimbang kepada pelajar Sabah yang mempunyai kesedaran mengundi tidak dapat pulang atas tujuan tersebut.

“Selain itu, kebimbangan lain adalah objektif utama KPT memberi cuti pelepasan lima hari tidak tercapai iaitu untuk melahirkan generasi yang prihatin dengan pemerintahan negara dan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan sebagai pengundi…

“MARSIS dan GAMIS sangat mengambil berat dengan kebimbangan yang wujud serta berharap ada persetujuan dan perbincangan yang berfokus bersama syarikat penerbangan.

“Ini khusus untuk menyelesaikan masalah isu tiket penerbangan yang disifatkan harga ‘Yahudi’ supaya pada akhirnya tanggungjawab sebagai pengundi dapat dilaksanakan oleh mahasiswa serta dapat memanfaatkan cuti pelepasan lima hari dari KPT…

“Kita yakin mereka inilah pemimpin pelapis kepada kepimpinan negeri dan negara dimasa akan datang,” menurut kenyataan media terbabit.

Pada 22 Oktober lepas, KPT bersetuju supaya semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) memberi pelepasan selama lima hari bermula pada 17 sehingga 21 November kepada semua mahasiswa untuk pulang menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.