
LIMON, COSTA RICA – Pihak berkuasa Costa Rica semalam mengesahkan bahawa jutawan Jerman, Rainer Schaller dan keluarganya berada di dalam sebuah pesawat kecil yang terhempas di Caribbean, ketika usaha menyelamat diteruskan selepas dua mayat ditemui.
Sumber kementerian keselamatan awam memberitahu sumber AFP bahawa Schaller, 53, dan lima orang lain disenaraikan berada di dalam pesawat yang terhempas pada Jumaat baru-baru ini di luar pantai wilayah Limon timur.
Akhbar Jerman Bild melaporkan bahawa Schaller yang juga pengasas rangkaian gim kecergasan yang dikenali McFit, pasangannya dan dua anak mereka dan seorang lagi lelaki yang tidak disebutkan namanya merupakan penumpang dalam pesawat itu.
Senarai penumpang rasmi hanya menyatakan nama akhir warga Jerman iaitu Schikorsky, 44, Kurreck, 40, dan dua lagi di bawah umur, serta juruterbang Switzerland berusia 66 tahun dengan nama keluarga Lips.
Susulan itu, mayat seorang remaja bawah umur dan seorang dewasa yang tidak dikenal pasti ditemui pada Sabtu.
Beberapa serpihan bagasi dan pesawat ditemui di dalam air kira-kira 28 kilometer dari lapangan terbang Limon menurut Kementerian Keselamatan Awam negara terbabit.
“Operasi mencari dan menyelamat bermula selepas pesawat yang dalam perjalanan dari Mexico itu terputus hubungan dengan menara kawalan di Limon…
“Mereka menyambung semula operasi semalam dengan kapal pengawal pantai berlepas pada awal pagi,” lapor sumber tersebut.