KOTA KINABALU, SABAH – Karya “Kerusi dan Malas” oleh pelukis muda, Josrie Haral memenangi Karya Perdana Tahunan Negeri Sabah (KPTNS) Ke-37 Kategori Khas Sabah Maju Jaya.
Panel utama karya itu dihasilkan dengan bitumen dan arkrilik merupakan lirik lagu “Sabah Tanah Airku” bersama imejan jata negeri dengan slogan “Sabah Maju Jaya”.
Sementara, panel kecil mengelilingi panel utama dihasilkan dengan mengaplikasikan teknik pemindahan imej di atas kanvas bersaiz 30 x 40 cm.
Dengan karya tersebut, Josrie membawa pulang RM10,000 serta sijil penyertaan menewaskan 832 karya lain.
Turut diumumkan, Pemenang Anugerah Khas Tokoh Seni Visual Negeri Sabah 2022, Awang Fadilah Ali Hussein dan Bayu Utomo Radjikin yang banyak menyumbang kepada perkembangan seni visual Sabah.
Hadiah disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Dr Joachim Gunsalam merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Perayaan Hari Jadi Rasmi Ke-69 Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.
Acara tahunan itu turut menawarkan hadiah berjumlah RM145,000 dengan empat kategori pertandingan iaitu Kategori A (Sekolah Rendah), Kategori B (Sekolah Menengah), Kategori C (Terbuka) dan Kategori Khas SMJ.
Hadir sama, isteri Tun Juhar, Toh Puan Norlidah R.M Jasni, Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Mohd Tamin Zainal serta Pengurus Besar Lembaga Kebudayan Negeri Sabah, Mackey Apison.







