CCA Memastikan Negeri Mencapai Penguasaan Lebih Besar Dalam Industri Minyak Sabah –...

CCA Memastikan Negeri Mencapai Penguasaan Lebih Besar Dalam Industri Minyak Sabah – Masidi

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Commercial Collaboration Agreement (CCA) memastikan Negeri Sabah mencapai perkongsian hasil, penyertaan dan penguasaan yang lebih beşar dalam industri minyak dan gas di Sabah secara komersial.

Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan selaku Menteri Kewangan II Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, CCA memastikan Negeri Sabah mengekalkan hak perundangannya.

“Negeri Sabah diberi peluang tinggi dalam industri minyak dan gas melalui aktiviti huluan dan hiliran LNG (Liquefied Natural Gas).

”Senario ini menunjukkan syarikat-syarikat milik tempatan yang terlibat dalam industri minyak dan gas diberi peluang untuk menyertai ketiga-tiga aktiviti tersebut.

“Kerajaan Negeri melalui anak syarikat kerajaan negeri juga diberi peluang untuk menyertai peratus pegangan saham yang lebih tinggi bagi memastikan keuntungan industri minyak dan gas ini dapat memberi pulangan atau hasil yang tinggi kepada Kerajaan Negeri.

“Ianya seterusnya dapat dinikmati oleh rakyat melalui perancangan pembangunan negeri yang akan merancakkan aktiviti ekonomi negeri ini,” katanya sebagai membalas kepada soalan Ahli Dewan Undangan Negeri Segama dan Kadamaian di Persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Selain itu, menurutnya, Perjanjian Komersial di antara Petronas dan kerajaan negeri yang ditandatangani pada 7 Disember itu turut melihat pihak Petronas komited untuk membayar secara tunai royalti minyak dan cukai jualan negeri.

“Ianya sebagai sebahagian daripada mendapatkan perkongsian hasil yang lebih besar dalam industri minyak dan gas.

“Perjanjian ini juga memberi Hak kepada Kerajaan Negeri Sabah dalam industri minyak dan gas untuk memudahkan kerjasama komersial dengan anak syarikat kerajaan negeri,” jelasnya.