KKM Berdepan Kekurangan Kritikal Jururawat, 10,557 Jawatan Masih Kosong

KKM Berdepan Kekurangan Kritikal Jururawat, 10,557 Jawatan Masih Kosong

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdepan cabaran kekurangan tenaga kerja yang kritikal apabila sebanyak 10,557 daripada 73,281 perjawatan Jururawat Gred U5 di fasiliti kesihatan seluruh negara masih kosong ketika ini.

KKM dalam kenyataan memaklumkan, tiga strategi utama reformasi tenaga kerja digariskan bagi menangani masalah itu, merangkumi peningkatan pengeluaran graduan, peluasan laluan kerjaya serta pelaksanaan pengambilan terus dan autonomi pengurusan perjawatan.

“KKM menyedari realiti cabaran sistem kesihatan negara terutamanya masalah kekurangan tenaga yang sangat kritikal.

Daripada 73,281 perjawatan Jururawat Gred U5, terdapat lompong kekosongan sebanyak 10,557 kejururawatan di fasiliti kesihatan pada masa kini,” menurut kenyataan itu di sini, semalam.

Bagi meningkatkan pengeluaran tenaga kejururawatan, KKM memaklumkan pengambilan jururawat pelatih sudah dilipatgandakan kepada 3,000 orang setahun bermula 2025.

KKM turut menyasarkan penyumberluaran sehingga 2,000 pelatih setahun ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).

Selain itu, empat cawangan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) akan dibuka semula menjelang Oktober 2027 masing-masing di Kuantan, Kuala Terengganu, Muar dan Pulau Pinang dengan tambahan kapasiti keseluruhan kira-kira 500 pelatih.

Langkah berkenaan dijangka meningkatkan kapasiti keseluruhan Program Diploma Kejururawatan kepada 5,500 pelatih setahun.

Bagi memperluaskan laluan kerjaya pula, sebanyak 15 Program On-The-Job Training (OJT) akan dimulakan pada September ini bagi membolehkan petugas meningkatkan kepakaran tanpa perlu meninggalkan tempat bertugas untuk tempoh yang panjang.

Laluan Jururawat Masyarakat untuk menjadi Jururawat menerusi Diploma Peralihan turut diperluaskan.

Dalam perkembangan berkaitan, KKM memaklumkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sudah meluluskan pengecualian Lantikan Kontrak Interim, sekali gus membolehkan semua graduan Diploma Kejururawatan ILKKM yang lulus dan berdaftar dengan Lembaga Jururawat Malaysia diserap terus ke jawatan tetap.

“Sejak 9 Julai 2026, KKM juga telah diberikan kuasa autonomi untuk menguruskan perjawatan bagi mengelakkan birokrasi, sekali gus memastikan graduan ditempatkan terus di lapangan,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, seramai 6,987 graduan ILKKM dilahirkan pada tahun ini dengan 924 graduan Zon Sabah menerima skrol pada Istiadat Konvokesyen ILKKM 2026 Zon Sabah di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Skrol disampaikan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, manakala istiadat berkenaan turut dihubungkan secara langsung bersama 5,117 graduan di Zon Semenanjung dan 946 graduan di Zon Sarawak.

Pada istiadat itu, Alden Ker Ming Vui, graduan Diploma Sains Perubatan dan Kesihatan yang kini bertugas di Hospital Sungai Buloh, menerima Anugerah Perdana.

Bertemakan “Graduan ILKKM Tonggak Reformasi Kesihatan MADANI”, konvokesyen berkenaan mencerminkan komitmen KKM untuk terus melahirkan tenaga profesional kesihatan bagi memenuhi keperluan sistem kesihatan negara dan memastikan masyarakat memperoleh perkhidmatan kesihatan yang inklusif serta berkualiti.