OTTAWA, KANADA – Warga Kanada dan individu yang memiliki taraf penduduk tetap (PR) tidak perlu dikuarantin selepas pulang dari luar negara mulai 5 Julai ini dengan syarat mereka sudah lengkap menerima vaksin COVID-19.
Mereka juga tidak perlu melakukan ujian, seperti yang ditetapkan dalam fasa pertama kelonggaran sekatan kesihatan kepada pelancong
Menteri Kesihatan Kanada, Patty Hajdu, pada sidang media mengakui kerajaan berdepan tekanan yang semakin meningkat supaya membuka kembali sempadannya.
“Kita sudah nampak dan menuju garis penamat. Mari kita selesaikan dengan kuat dan pastikan kita melindungi bersama-sama,” katanya.
Memetik laporan AFP, Hajdu berkata bahawa pegawai Kementerian Kesihatan sentiasa memantau pandemik COVID-19 dan memberi amaran virus itu masih menimbulkan bahaya di seluruh dunia.
Menteri Keselamatan Awam Kanada, Bill Blair pula berkata, kerajaan menyedari pelbagai pihak mahukan sempadan dibuka.
“Kita sedang berusaha ke arahnya… apabila kita dapat meningkatkan tahap vaksinasi di kalangan penduduk dan menurunkan kes jangkitan harian, risiko berkaitan perjalanan antarabangsa akan berkurangan.”
Sehingga semalam, seramai 25 juta penduduk Kanada atau 66 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, sementara tujuh juta orang sudah mendapat vaksin sepenuhnya.
Kerajaan Kanada sebelum ini memberi nasihat kepada rakyatnya supaya tidak melakukan perjalanan tidak penting ke luar negara, dengan alasan meningkatkan risiko membawa masuk varian virus COVID-19.
Setakat ini, mereka masih melarang pelancong asing termasuk rakyat Amerika Syarikat memasuki negara itu walaupun sudah menerima suntikan vaksin COVID-19.
Rakyat Kanada yang dapat menunjukkan bukti sudah menerima dua dos vaksin yang diluluskan iaitu Pfizer, Moderna, AstraZeneca atau Johnson & Johnson – sekurang-kurangnya 14 hari sebelum ketibaan masih perlu menjalani ujian sebelum dan semasa ketibaan.
Namun, mereka tidak perlu dikuarantin tiga hari di hotel yang dibenarkan oleh kerajaan dengan perbelanjaan mereka sendiri sementara menunggu keputusan ujian atau harus menguji lagi setelah lapan hari.