KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus berada pada landasan kukuh untuk menjadi wadah utama penyatuan politik tempatan dengan menghimpunkan parti, pemimpin serta rakyat yang berkongsi aspirasi membangunkan Sabah.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Azrul Ibrahim berkata, perkembangan selepas Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), termasuk penyertaan UPKO ke dalam GRS, kemasukan ahli dan penyokong baharu serta sokongan lebih luas terhadap Kerajaan Negeri menunjukkan kekuatan gabungan itu terus berkembang.
Menurutnya, GRS berpotensi menjadi “rumah besar” politik Sabah yang menyediakan ruang kepada parti dan pemimpin tempatan untuk bekerjasama tanpa perlu menghapuskan identiti masing-masing.
“Sabah tidak memerlukan lebih banyak perpecahan. Apa yang diperlukan ialah lebih banyak penyatuan dan kerjasama yang berteraskan kepentingan rakyat serta negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azrul berkata, kestabilan politik amat penting bagi membolehkan Kerajaan Negeri memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, infrastruktur, peluang pekerjaan, pendidikan, modal insan serta penyelesaian isu asas rakyat.
Beliau turut berpandangan kewujudan terlalu banyak gabungan politik baharu berisiko memecahkan sokongan dan mewujudkan persaingan sesama parti tempatan, sekali gus menjejaskan usaha membina kekuatan politik Sabah secara lebih tersusun.
Katanya, kekuatan sesebuah gabungan bukan hanya diukur berdasarkan jumlah kerusi, tetapi keupayaannya menghimpunkan pelbagai kekuatan di bawah agenda bersama serta membentuk kerajaan yang stabil dan mampu bekerja untuk rakyat.
“Menjelang PRU16, GRS akan terus memperkukuh kesatuan, memperluas kerjasama dan membuka ruang kepada semua pihak yang mempunyai komitmen untuk bersama-sama membina Sabah yang lebih stabil, maju dan sejahtera,” katanya.






