TUARAN : Program kelestarian alam sekitar dan pendigitalan pendidikan perlu dijadikan budaya berterusan dalam kalangan warga sekolah dan bukan sekadar berakhir selepas sesuatu program dilaksanakan kata Setiausaha Politik kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Mohammad Ghazali Hajiji.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Peluncuran Program SK Tomis Eco Lestari (STEL) dan Go DELIMATo, serta Ceramah Motivasi Keibubapaan dan Pengurusan PIBG Berkesan SK Tomis 2026 di Dewan Kuriou, SK Tomis, pada Rabu.
Menurutnya, pendidikan bukan hanya berlaku di dalam bilik darjah, sebaliknya turut dibentuk melalui persekitaran yang bersih, sihat, selamat dan lestari.
Katanya, STEL menggabungkan aspek kebersihan, amalan 3R, pencegahan denggi dan penghijauan sekolah yang mampu membentuk nilai tanggungjawab, disiplin serta kasih terhadap alam sekitar dalam kalangan murid.
Dalam pada itu, Go DELIMATo (Go DELIMa Tomis) pula merupakan inisiatif pendigitalan yang bertujuan memperkukuh kerjasama antara sekolah, guru, murid dan ibu bapa menerusi penggunaan platform DELIMa.
Ghazali berkata kejayaan inisiatif itu bukan sekadar diukur melalui jumlah akaun yang diaktifkan, tetapi sejauh mana platform tersebut dimanfaatkan bagi memperkayakan pengalaman pembelajaran murid dan mengeratkan hubungan antara sekolah dengan ibu bapa.
Beliau turut menekankan kepentingan PIBG sebagai jambatan yang menyatukan sekolah, ibu bapa dan komuniti, selain perlu diurus secara telus, terancang serta berfokus kepada kepentingan murid.
“Sekolah tidak mampu bergerak sendirian. Ibu bapa, komuniti, agensi kerajaan dan sektor swasta perlu menjadi rakan strategik yang saling melengkapi,” katanya.
Turut hadir, Ketua Penolong Pengarah Kanan Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Raflee Mukaddim, Guru Besar SK Tomis, Marlina Abd Kayum, Penolong PPD Sektor Pengurusan Sekolah merangkap wakil Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran, Mohd Azrai Jaafar, serta Yang Dipertua PIBG SK Tomis, Sayri Duin,
Program itu turut menghimpunkan wakil PIBG daripada 10 buah sekolah Zon Nabalu, selain pemimpin komuniti serta wakil agensi kerajaan dan swasta.






