KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri terus menyokong usaha memperkasa sektor eko-pelancongan berasaskan komuniti sebagai antara pendekatan yang mampu menjana ekonomi dan memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, komitmen komuniti dalam membangunkan potensi eko-pelancongan di kawasan masing-masing penting bagi memastikan manfaat sektor itu dapat dinikmati masyarakat tempatan.
“Kerajaan Negeri menghargai komitmen komuniti dalam memperkukuh pembangunan eko-pelancongan yang mampu memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Komuniti Eko-Pelancongan Mukim Kibbas-Tambiau yang diketuai Pengerusinya, Jubair Juhinin bersama rombongan di pejabatnya, di sini, hari ini.
Dalam pertemuan itu, antara perkara diberi perhatian ialah aspirasi dan keperluan komuniti dalam usaha memperkasakan sektor eko-pelancongan di Mukim Kibbas-Tambiau.
Sementara itu, Jubair berkata sokongan Kerajaan Negeri khususnya dalam memperkukuh infrastruktur dan kemudahan berkaitan amat penting bagi membantu komuniti mengembangkan potensi eko-pelancongan di kawasan berkenaan.
Jubair berharap kerjasama antara komuniti dan Kerajaan Negeri dapat terus diperkukuh bagi membangunkan lebih banyak produk eko-pelancongan serta hasil tempatan yang berdaya saing, sekali gus meningkatkan manfaat ekonomi kepada penduduk setempat.






