Hentikan Polemik Tuduh-Menuduh, Fokus Pulihkan dan Perkukuh Tabung Haji – Armizan

Hentikan Polemik Tuduh-Menuduh, Fokus Pulihkan dan Perkukuh Tabung Haji – Armizan

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Polemik fitnah dan tuduh-menuduh berhubung isu pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu dihentikan bagi memberi tumpuan kepada usaha pemulihan serta memperkukuh institusi itu demi melindungi amanah 9.7 juta pendeposit di seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji seharusnya dijadikan asas untuk tindakan susulan, termasuk memperkukuh tatakelola, integriti dan akauntabiliti institusi berkenaan.

Polemik fitnah dan tuduh-menuduh yang berpanjangan tidak seharusnya menenggelamkan perkara yang lebih utama yakni memastikan Tabung Haji dipulihkan dan terus kukuh serta amanah jutaan pendeposit sentiasa terpelihara,” katanya menerusi hantaran di Facebook, semalam.

Armizan berkata demikian selepas mengambil bahagian dalam Sidang Khas Dewan Rakyat bagi membahaskan Laporan RCI Tabung Haji yang meneliti isu pengurusan dan operasi institusi itu bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Menurutnya, kepentingan memastikan TH terus kukuh amat besar memandangkan jumlah pendepositnya kini mencecah 9.7 juta orang di seluruh negara, termasuk 597,983 pendeposit di Sabah.

Beliau berkata, sebarang siasatan susulan oleh agensi penguatkuasaan berdasarkan dapatan RCI perlu dilaksanakan secara telus, bebas dan profesional serta berlandaskan fakta dan undang-undang bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.

Pada masa sama, syor penambahbaikan yang dikemukakan perlu diteliti dan diterjemahkan kepada langkah konkrit bagi memperkukuh hala tuju serta tadbir urus TH.

“Apa yang paling penting, segala dapatan dan syor RCI ini perlu diterjemahkan kepada tindakan yang dapat memperkukuh tatakelola, integriti dan akauntabiliti Tabung Haji, sekali gus memastikan institusi ini terus kukuh dan diyakini dalam melaksanakan amanah kepada umat Islam,” katanya.

Dalam perbahasan itu, Armizan turut membangkitkan beberapa perkara yang memerlukan penjelasan terperinci termasuk keberkesanan proses pemulihan TH, implikasi krisis keyakinan rakyat serta kesan kewangan kepada kerajaan.

Beliau turut membangkitkan keperluan kajian forensik terhadap 14 pelaburan terdahulu yang disifatkan mencurigakan selain isu berkaitan integriti proses audit TH terdahulu menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).

Armizan turut merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pengarah, pengurusan dan seluruh warga TH atas pelbagai inisiatif pemulihan yang dilaksanakan sehingga institusi berkenaan kembali kepada status yang sihat.

Beliau berharap usaha memelihara amanah umat Islam itu dapat diteruskan bagi memastikan TH kekal sebagai institusi yang kukuh dan diyakini pendeposit.