Pinda Akta 1950, Madius Mahu RCI Jadi Pemangkin Reformasi Institusi

Pinda Akta 1950, Madius Mahu RCI Jadi Pemangkin Reformasi Institusi

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 perlu dipinda bagi memastikan setiap syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) diterjemahkan kepada pembaharuan sebenar dan menjadi pemangkin reformasi institusi serta tatakelola negara.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, cabaran utama negara bukan lagi sekadar mencari kebenaran menerusi penubuhan RCI, sebaliknya memastikan setiap dapatan dan syor dilaksanakan secara konsisten serta berakauntabiliti sehingga masalah yang dikenal pasti dapat diselesaikan.

Pengalaman negara melalui RCI Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah, RCI kematian Teoh Beng Hock dan kini RCI Tabung Haji menunjukkan pengalaman yang sama berulang, membuktikan sudah tiba masanya negara memperkukuhkan sistem berkenaan,” katanya.

Madius yang juga Presiden Kehormat UPKO berkata demikian ketika berbahas mengenai Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tabung Haji pada Sidang Khas Dewan Rakyat, di sini, pada Selasa.

Menurutnya, Laporan RCI Tabung Haji yang siap pada 2023 hanya dibentangkan kepada Parlimen beberapa tahun kemudian berikutan ketiadaan kewajipan undang-undang yang jelas menetapkan tempoh pembentangan laporan RCI kepada Dewan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan penggubalan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Siasatan (Pelaksanaan Syor dan Akauntabiliti) (Pindaan) supaya sesuatu RCI tidak dianggap selesai hanya selepas laporannya diserahkan kepada kerajaan.

“Saya mencadangkan supaya setiap laporan RCI disusuli dengan satu Pelan Reformasi Nasional yang memperincikan tindakan, kementerian peneraju, garis masa pelaksanaan, keperluan kewangan dan Petunjuk Prestasi Utama bagi setiap syor, serta wajib dibentangkan kepada Parlimen,” katanya.

Beliau turut mencadangkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan diberi mandat untuk memantau pelaksanaan syor RCI secara berkala, termasuk memanggil kementerian dan agensi bertanggungjawab bagi memberikan penjelasan.

Madius berkata, pengalaman RCI Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah menunjukkan keperluan terhadap mekanisme pemantauan yang lebih berkesan apabila Sekretariat Tetap yang disyorkan hanya bermesyuarat 13 kali dalam tempoh lebih sedekad, sedangkan isu pendatang tanpa izin masih menjadi cabaran besar kepada Sabah.

Menurutnya, keadaan itu membuktikan keberkesanan reformasi institusi perlu dinilai berdasarkan sejauh mana sesuatu masalah berjaya diselesaikan dan bukan semata-mata berdasarkan aktiviti atau mesyuarat yang dilaksanakan.

“Marilah kita memastikan setiap Suruhanjaya Siasatan Diraja selepas ini bukan sahaja berjaya mencari kebenaran, tetapi juga berjaya melaksanakan kebenaran sehingga masalah negara benar-benar diselesaikan,” katanya.