KOTA KINABALU, SABAH – Qhazanah Sabah Berhad (QSB) dan kumpulan syarikatnya semalam meraikan anak-anak Rumah Amal Kasih Raja Udang (RAKK) sempena bulan Ramadan.
Program itu merupakan sebahagian daripada Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kumpulan Qhazanah pada setiap Ramadan di mana zakat perniagaan diagihkan.
Pengerusi QSB, Datuk Dr Yusof Yacob berharap semangat kesyukuran, kemasyarakatan, dan kemurahan hati kepada mereka yang memerlukan dapat disemat oleh semua.
Seramai 30 kanak-kanak dari RAKK mendapat sambutan hangat oleh pasukan pengurusan kumpulan, kakitangan dan ahli jawatankuasa selain turut menerima sumbangan berjumlah RM10,000 daripada QSB.
Pengasas RAKK, Nooraisah Ayub, merakamkan ucapan terima kasih kepada QSB kerana menganjurkan majlis tersebut sambil menambah bahawa ianya akan membantu menampung perbelanjaan penyelenggaraan dan operasi harian.
Kumpulan itu turut mengisytiharkan zakat perniagaan dengan jumlah gabungan RM125,972 manakala RM1.05 juta lagi telah diisytiharkan oleh syarikat bersekutunya Celcom Timur Sabah Sdn Bhd.
Dr Yusof berada di atas pentas untuk menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ahmad Rizal Dahli menyerahkan pembayaran zakat perniagaan kepada wakil MUIS.





