Tragedi Double Six Tiada Unsur Sabotaj

Tragedi Double Six Tiada Unsur Sabotaj

0
SHARE
Double six
Bangkai kapal tragedi Double Six yang terhempas ( Sumber Foto: Gambar Google )

KUALA LUMPUR – Tiada sebarang bukti sabotaj, kebakaran atau letupan ditemui oleh pasukan penyiasat dalam siasatan terhadap punca pesawat terhempas pada 6 Jun 1976, yang meragut nyawa Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Fuad Stephens dan 10 yang lain.

Memetik sumber Berita Harian, penemuan itu adalah berdasarkan laporan akhir nahas pesawat terbabit yang dinyahklasifikasi mengikut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88), hari ini.

Mengikut laporan itu, pesawat malang terbabit diselenggara mengikut jadual, selain melakukan penerbangan dengan had berat yang dibenarkan.

Bagaimanapun, laporan itu juga mendedahkan kedudukan pusat graviti pesawat terbabit di luar had buritan kapal.

“Prosedur operasi yang dijalankan oleh juruterbang syarikat itu tidak mengikut standard profesional,” menurut laporan itu lagi.

Berdasarkan penemuan laporan itu yang disiapkan pada Januari 1977, juruterbang bertugas dikesan hilang kawalan terhadap pesawat berkenaan.

Laporan itu turut menyebut bahawa tiada bukti bahawa adanya kerosakan sebelum nahas pesawat itu, atau enjinnya menjadi faktor penyebab nahas.

Ujian patologi terhadap juruterbang pesawat Sabah Air yang terhempas di perairan Sembulan pada 6 Jun 1976 membuktikan beliau cukup layak untuk terbang pada ketika itu.

Laporan akhir nahas udara itu juga mendedahkan juruterbang berkenaan tidak mengalami kesan daripada alkohol atau dadah.

Bagaimanapun, terdapat bukti lain yang menunjukkan juruterbang itu penat dan mengalami sakit perut ringan.

Terdahulu, Kementerian Pengangkutan menyiarkan laporan penuh nahas pesawat terhempas pada 1976 menerusi sesawangnya.

Menterinya, Anthony Loke, berkata proses nyahklasifikasi laporan terbabit selesai pada 6 April mengikut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 sebelum ia dimuat naik untuk dilihat oleh orang awam menerusi sesawang, www.mot.gov.my.

Pada 5 April lalu, media melaporkan kerajaan bersetuju menyahklasifikasikan laporan kemalangan pesawat itu yang dikenali sebagai “Tragedi Double Six”.

Dalam tragedi pada 6 Jun 1976 itu, Fuad yang baru 53 hari mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri, meninggal dunia bersama 10 yang lain, termasuk menteri kabinetnya, apabila pesawat GAF Nomad dinaiki mereka terhempas di Sembulan, Kota Kinabalu.

Mereka yang maut termasuk Menteri Kabinet Sabah, Salleh Sulong, Chong Thien Vun dan Peter Mojuntin.

Susulan kejadian itu, pengeluar GAF Nomad Australia dan Jabatan Pengangkutan Australia melancarkan siasatan untuk membuktikan bahawa nahas bukan disebabkan oleh masalah mekanikal.

Siasatan selesai kira-kira empat bulan kemudian, tetapi laporan penuh tidak didedahkan kepada umum kerana diklasifikasikan mengikut Akta Rahsia Rasmi.