UMNO Perlu Bersikap Pragmatik, Tidak Ada Parti Boleh Menang Pilihanraya Secara Sendiri...

UMNO Perlu Bersikap Pragmatik, Tidak Ada Parti Boleh Menang Pilihanraya Secara Sendiri – Dr Salleh

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – UMNO seharusnya bersikap pragmatik untuk menyelami realiti bahawa tidak ada parti boleh memenangi pilihanraya secara sendiri.

Demikian kata bekas ketua menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, dalam sebuah catatan pada halaman Facebook beliau semalam.

Katanya, Muafakat Nasional (MN) merupakan wadah yang berkesan dan berjaya dan UMNO patut menumpukan perhatian untuk memperbaikinya demi masa depan parti.

“Ini untuk mendapatkan rakan kongsi baru dan memastikan kestabilan politik yang berkekalan…

“Di Sabah, inilah matlamat UMNO Sabah bersama di dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), kerana kita tetap fokus berkhidmat membawa kestabilan dan pembangunan untuk rakyat,” katanya.

Presiden UMNO,  Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada awal bulan ini berkata, Muafakat Nasional yang ‘sejati’ masih mungkin dipertahankan jika Parti Islam Se-Malaysia (PAS) sanggup memberi ruang kerjasama setelah mengisytiharkan sokongan kepada BERSATU.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi…

Utusan Malaysia memetik Zahid sebagai berkata: “UMNO akan kekal bertanding di bawah panji Barisan Nasional (BN) bersama parti komponen dan rakannya yang masih setia kepada perjuangan gabungan,” katanya merujuk kepada senario Pilihan Raya Umum Ke-15 tahun hadapan.

Portal berita itu juga melaporkan tegasan Zahid bahawa UMNO perlu “move on” (melangkah ke hadapan) dengan segera dan tidak boleh terus berada dalam ketidaktentuan.