
KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan negeri Sabah sedang melakukann semakan semula kadar pengenaan cukai jualan negeri (CJN) ke atas besi buruk dan buangan yang dibawa keluar negeri.
Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Phoong Jin Zhe berkata ianya selepas menerima bantahan daripada beberapa pihak setelah cadangan mengenai isu berkenaan diluluskan Kabinet Negeri Sabah pada Rabu (5 April) lalu.
“Antara keputusan yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri adalah mengenakan kadar CJN sebanyak 10 peratus ke atas nilai jualan eksport besi buruk dan buangan yang dibawa keluar dari Sabah.
“Berdasarkan hasil kajian, pengenaan kadar CJN sebanyak RM200 se tan metrik didapati adalah lebih kurang 13 peratus ke atas harga semasa pasaran besi buruk.
“Peniaga besi buruk akan terbeban dan sebaliknya hasil kerajaan tidak akan bertambah jika berlakunya kenaikan harga besi buruk di peringkat antarabangsa.
“Kadar 10 peratus didapati akan mendatangkan manfaat kepada kedua-dua pihak. Negara-negara membangun seperti negara India, China juga membuat seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.
Selain itu beliau berkata platform harga antarabangsa, London Metal Exchange dan barchart, akan digunakan sebagai rujukan harga semasa.
Tambahnya, kedua-dua platform itu dipilih kerana diiktiraf dan juga telah menguasai pasaran besi buruk seluruh dunia.
“Jabatan Pembangunan Perindustriandan Penyelididkan (DIDR) juga diberi kuasa untuk mendaftar semua pengumpul besi buruk yangmempunyai alat timbangan dan memberi lesen Kelulusan Kerajaan Negeri (SGA).
“Bagi mengenal pasti bilangan syarikat pengumpul besi buruk yang masih beroperasi di Sabah, kerajaan negeri bersetuju supaya semua syarikat pengumpul besi buruk yang mempunyai alat timbangan diwajibkan untuk memohon lesen SGA.
“Pendekatan ini memainkan peranan penting kerana ia membenarkan kerajaan negeri untuk membangunkan pangkalan data yang berstruktur untuk rujukan pada masa akan datang,” katanya.





