Majikan Diseru Agar Tidak Melindungi PATI Selepas 155 PATI Ditahan JIM...

Majikan Diseru Agar Tidak Melindungi PATI Selepas 155 PATI Ditahan JIM Di Tawau

0
SHARE

TAWAU, SABAH – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan seramai 155 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam dua serbuan di daerah ini pada Rabu dan Khamis lalu.

Operasi Patuh Bersepadu menyapu Kilang Jalan Tanah Merah Merotai (IkutMaju Sdn Bhd) dan Batu 5 Kampung Kilang Cermin di Jalan Kinabutan pada tengah malam hari-hari yang tersebut.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yassin berkata suspek yang ditahan berada dalam lingkungan umur satu hingga 77 tahun.

Ini termasuk 49 orang lelaki dan 67 perempuan dewasa, serta 39 kanak-kanak.

Daripada jumlah 182 orang yang diperiksa, suspek PATI didapati melanggar Seksyen 6(1)(c) dan 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Mereka masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas yang sah dan tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas,” katanya.

Tumpuan operasi turut menjurus kepada majikan-majikan yang disyaki mengambil pekerja PATI, melindungi PATI dan sindiket yang membawa masuk PATI ke negara ini.

“Tindakan akan diambil selaras dengan undang-undang tanpa kompromi di bawah Seksyen 55E akta yang sama, kerana membenarkan mana-mana (PATI) memasuki atau tinggal di dalam premis yang ianya mempunyai kepentingan sebagai penyelia atau menguruskan atau mempunyai kawalan ke atas mana-mana premis tersebut,” jelasnya lagi.

Operasi selama dua hari itu membabit kan 90 orang Pegawai Imigresen dan lapan (8) orang anggota Sabah Electricity Sendirian Berhad (SESB).

Dalam perkembangan JIM Negeri Sabah, Jonathan menjelaskan pada tahun ini sebanyak 610 operasi telah dijalankan dimana daripada jumlah tersebut sebanyak 1,069 PATI telah ditangkap.

“Manakala sebanyak 34 orang majikan telah didakwa dan 1,740 orang tahanan warga asing telah diusir ke negara asal…

“Selain itu, saya juga ingin memaklumkan bahawa penghantaran pulang bagi PATI warganegara Indonesia yang sepatutnya dilaksanakan pada 04.08.2021 (Rabu) adalah ditangguhkan atas faktor keselamatan berhubung COVID-19.

“Namun demikian, proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan COVID-19 terhadap setiap tahanan bagi suatu tempoh yang ditetapkan turut dilakukan bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan COVID-19 sebelum dihantar ke depot Imigresen seiring dengan Standard Operating Procedures (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Jonathan Yassin (tengah) ketika serbuan dilangsungkan di Tawau…

Beliau merakamkan penghargaan kepada orang awam yang memberikan maklumat kepada JIM Sabah sehingga tertangkapnya sejumlah PATI yang tidak mematuhi undang-undang.

“Saya menyeru supaya tidak ada mana-mana pihak yang cuba melindungi PATI di negeri Sabah…

“Justeru itu, saya memohon kerjasama dari rakyat Sabah agar melaporkan dengan segera sekiranya terdapat aktiviti PATI di kawasan mereka,” tegasnya.