SIBU, SARAWAK – Seorang suri rumah mengalami kerugian lebih RM87,000 wang simpanannya apabila menjadi mangsa terbaru Macau Scam baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Supt Dr Collin Babat dalam kenyataan semalam seperti dipetik Bernama berkata, perkara itu bermula apabila suri rumah berumur 50-an itu menerima panggilan daripada seorang wanita bernama ‘Mastura’ yang kononnya mendakwa nama suri rumah itu telah digunakan untuk membuat tuntutan insurans RM76,000.
Beliau berkata suri rumah itu yang berasal dari perkampungan nelayan di Igan, Bahagian Mukah telah percaya kepada taktik penipuan itu kononnya bagi menangguhkan “waran tangkap” dan mengelak akaun dibekukan, dia diminta untuk membuka akaun baharu di samping turut diminta menyerahkan maklumat mengenai akaun berkenaan serta akaun Tabung Hajinya.
Katanya wanita itu kemudiannya diarahkan membuat lima transaksi tunai ke akaun berkenaan dari tempoh 13 Dis hingga 4 Jan lepas melibatkan jumlah keseluruhannya RM61,000.
Menurutnya wanita itu sedar ditipu hanya selepas membuat semakan baki di akaun bank berkenaan dan mendapati RM61,000 telah lesap, manakala wang RM26,138 dalam akaun Tabung Haji juga telah tiada.
Collin berkata kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, dan beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak mudah terjebak dengan tipu helah apabila dihubungi orang tidak dikenali, yang mengaku kononnya pegawai polis, peguam, wakil insurans dan sebagainya.