KUALA TERENGGANU – Harga sayuran kampung seperti kacang panjang, bendi dan bayam naik antara RM3 hingga RM7 sekilogram (kg).
Menurut sumber, perkara ini disebabkan banjir yang melanda baru-baru ini telah menyebabkan kurangnya bekalan sayur-sayuran dan sekaligus harga sayuran kampung telah naik sejak beberapa minggu lalu.
Beberapa peniaga yang dipetik BH berkata, harga sayuran kampung seperti kacang panjang, bendi dan bayam naik antara RM3 hingga RM7 sekilogram.
Peniaga Mohd Zubidi Ngah, 32, berkata kebanyakan sayur-sayuran yang dijualnya adalah sayur kampung yang ditanam sendiri pekebun sayur.
Banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri ini menjejaskan bekalan sayur kampung yang ditanam sehingga menjadi punca kenaikan beberapa jenis sayur sejak kebelakangan ini.
“Beberapa sayur yang termasuk dalam barang kawalan tidak ada masalah tetapi kita berdepan kenaikan sayur kampung…
“Sebagai contoh, biasanya kacang panjang dijual dengan harga antara RM6 hingga RM7 sekilogram tetapi kini harganya mencecah RM12. Apabila pelanggan mahu membeli, kita akan maklumkan ada kenaikan dan ada antara mereka memang merungut tetapi kami sebagai peniaga juga tersepit,” katanya.
Bagi Nora Afiza Mazlan, 30, kenaikan harga barangan keperluan asas biasa berlaku menjelang musim perayaan.
“Setakat ini, bekalan bahan mentah atau sayur-sayur ini mencukupi cuma ada kenaikan sedikit dan kita bimbang harganya akan semakin tinggi menjelang perayaan Tahun Baru Cina nanti,” katanya.
Kakitangan kerajaan, Zatini Yan, 38, berkata pengguna yang membeli dengan kuantiti yang sedikit mungkin tidak merasakan kesan akibat kenaikan harga sayuran ini.
“Saya biasanya beli dalam kuantiti yang sedikit jadi tidak terasa sangat tetapi mereka yang beli dalam jumlah yang banyak akan rasa kesannya. Setakat ini, walaupun ada kenaikan kita tetap akan beli kerana ia adalah barang keperluan asas. Cuma diharapkan harga tidak naik dengan mendadak ketika musim perayaan nanti,” katanya.