PUTRAJAYA: Kontrak Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilanjutkan lagi untuk tempoh satu tahun, lapor Sinar Harian.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali memaklumkan lanjutan kontrak itu akan mula berkuat kuasa Ahad ini.
“Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan subseksyen 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009 [Akta 694], Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan semula Azam,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
Azam yang kini berusia 61 tahun itu bersara wajib pada Mei tahun lalu dan disambung semula kontrak sebagai Ketua Pesuruhjaya bagi tempoh setahun yang akan berakhir pada bulan ini.
Beliau sudah berpengalaman selama 40 tahun dalam SPRM di mana beliau memulakan kerjayanya sebagai Penolong Pegawai Penyiasat di Badan Pencegah Rasuah (BPR) pada 1984.