KUALA LUMPUR: Enam pegawai kanan dan anggota polis ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bermula semalam.
Sebelum ini dilaporkan kesemua individu itu sudah pernah ditahan kerana disyaki melakukan pemerasan sebanyak RM1.25 juta.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, penahanan reman kesemua mereka dibuat mengikut Seksyen 4(5) SOSMA 2012 sejak semalam untuk tempoh 28 hari sehingga 5 Jun ini.
Katanya, seorang lagi pegawai kanan polis berpangkat inspektor turut ditahan selepas menyerah diri, semalam.
“Individu berkenaan ditahan mengikut Seksyen 4(1) SOSMA 2012 dan reman ke atas suspek dibuat hari ini,” katanya.
Hasil daripada risikan dan siasatan yang dijalankan mendapati kumpulan ini bertindak secara bersama untuk melakukan jenayah kesalahan serius dengan tujuan untuk mendapatkan faedah material.
“Pengumpulan maklumat yang dijalankan juga mendapati kumpulan ini memenuhi elemen-elemen yang ditakrifkan di bawah Seksyen 130U Kanun Keseksaan,” katanya.
Pada 3 Mei lalu, Razarudin memaklumkan tiga pegawai berpangkat Asisten Komisioner (ACP), Deputi Superintendan (DSP) dan Inspektor daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman ditahan di sekitar Jalan Tun Razak di sini bagi membantu siasatan kes pemerasan itu, susulan laporan polis yang dibuat malam sebelumnya.
Dua lagi yang ditahan, masing-masing seorang Inspektor dan Sarjan. Susulan penahanan kelima-lima individu terbabit polis kemudian menahan seorang lagi Lans Koperal yang berkhidmat di jabatan yang sama.
Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Undang-Undang/Pendakwaan (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.