Polis Siasat Kejadian Pusat Hiburan Dibaling Bom Petrol

Polis Siasat Kejadian Pusat Hiburan Dibaling Bom Petrol

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat satu kes kejadian baling bom petrol terhadap sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Sen, di sini, awal pagi semalam.

Timbalan Ketua Polis Dang Wangi, Superintendan Nazron Abd. Yusof berkata, ekoran itu pihaknya telah membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat dengan menggunakan api. 

Jelas beliau, pihaknya kini masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu termasuk mengenal pasti suspek yang terlibat.

“Kejadian ini masih dalam siasatan dan perkembangan terbaharu akan dimaklumkan secara rasmi,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, tular satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 45 saat memaparkan kejadian baling bom petrol oleh individu tidak dikenali.

Rakaman itu menunjukkan empat lelaki menaiki dua motosikal berhenti di hadapan premis terbabit dan membaling dua bom petrol sebelum beredar.

Satu lagi rakaman video berdurasi 42 saat memaparkan orang awam membantu memadamkan kebakaran di premis terbabit.

Berdasarkan tarikh dan masa pada rakaman video CCTV tular tersebut, kejadian itu berlaku pukul 2.18 pagi semalam.