KOTA KINABALU: Dianggarkan 50,000 orang membanjiri Jalan Tun Fuad Stephens bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026 Peringkat Negeri Sabah, hari ini.
Sambutan tahun ini menyaksikan penyertaan 173 kontinjen melibatkan kira-kira 10,000 peserta daripada 12 kategori.
Daripada jumlah itu, sebanyak 121 kontinjen menyertai acara perbarisan, manakala 52 lagi merupakan kontinjen kenderaan yang mengambil bahagian dalam sambutan berkenaan.
Bagi pertandingan perbarisan, Sekolah Kebangsaan (SK) Api Api Kota Kinabalu muncul johan Kategori Sekolah Rendah, diikuti SK Pengiran Siti Hafsah Karambunai di tempat kedua dan SK Tobobon Kota Kinabalu di tempat ketiga.
Kategori Sekolah Menengah pula dimenangi Kadet Koreksional Negeri Sabah, manakala Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (Darat) SMK Badin dan SMK Tebobon masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Komander Kesatria UiTM Sabah dinobatkan johan Kategori IPTA/IPTS, diikuti IPG Kampus Gaya Kota Kinabalu dan Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) JPSM.
Bagi Kategori Bukan Kerajaan (NGO), Majlis Belia Sabah muncul johan, diikuti Bulan Sabit Merah Daerah Kota Kinabalu dan Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sabah.
Persatuan Etnik Bajau Tabawan Sabah (PERBATAS) pula mengungguli Kategori Persatuan Etnik Sabah, manakala Persatuan Kebudayaan Kesenian dan Warisan Bajau Tabawan Sabah, Sandakan (SABATA) menduduki tempat kedua dan Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah (PBRS) di tempat ketiga.
Kumpulan Yayasan Sabah muncul johan Kategori Swasta/Badan Berkanun, diikuti Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia dan DBKK Holdings Sdn. Bhd.
Bagi Kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi (Negeri), Kementerian Kewangan Negeri Sabah meraih tempat pertama, Jabatan Ketua Menteri kedua dan Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) ketiga.
Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah pula menjuarai Kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi (Persekutuan), diikuti Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah serta Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Dalam Kategori Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi (Negeri), Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) muncul johan, diikuti Jabatan Tanah dan Ukur Sabah serta Majlis Perbandaran Sandakan.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia pula mengungguli Kategori Jabatan Kerajaan Berpakaian Seragam Rasmi (Persekutuan), manakala Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sabah dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Kehadiran puluhan ribu pengunjung serta penyertaan besar kontinjen daripada pelbagai lapisan masyarakat memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah tahun ini di ibu negeri.






