PUTRAJAYA: “Janganlah kita campur, urusan gajah sama gajah, yang penting rumah kita, kita jaga,” demikian jawapan yang sering diberikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali apabila ditanya masyarakat di Sabah mengenai situasi semasa Kerajaan Perpaduan di Putrajaya.
Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, sejak beberapa bulan lalu beliau kerap diajukan pelbagai persoalan mengenai perkembangan politik di peringkat Persekutuan, termasuk mengenai kedudukan Kerajaan Perpaduan serta suasana dalam Jemaah Menteri.
Menurutnya, beliau sebelum ini lebih memilih memberikan jawapan ringkas itu bagi mengelakkan perbincangan panjang mengenai perkara berkenaan.
“Sejujurnya acap kali juga saya memilih untuk memberikan jawapan mudah yang sebenarnya lebih kepada ‘mengelak’ perbincangan panjang, respon saya adalah; janganlah kita campur, urusan gajah sama gajah, yang penting rumah kita, kita jaga.
“Hakikatnya, Malaysia ini juga adalah rumah besar yang wajib dipelihara dan dibina bersama. Sekalipun datang daripada parti dan rumah kecil, saya juga ada hak dan tanggungjawab kepada tanah air tercinta,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Kebangsaan menerusi Facebook hari ini.
Armizan berkata, meskipun beliau antara ‘orang baharu’ dalam barisan Jemaah Menteri dan hadir daripada sebuah parti tempatan kecil, pengalamannya berada dalam kerajaan membolehkan beliau memerhati secara dekat dinamika pentadbiran negara.
Beliau berkata, tumpuannya selama ini adalah melaksanakan tanggungjawab kementerian selain memberikan perhatian terhadap isu-isu berkaitan Sabah.
Menurutnya, sebagai pemerhati yang tidak terkait secara langsung dengan dinamika baharu hubungan antara dua gabungan parti nasional utama dalam Kerajaan Perpaduan-MADANI, beliau kagum dengan tahap kematangan politik yang ditunjukkan rakan-rakannya dalam Jemaah Menteri.
Katanya, meskipun berlaku perbezaan dan perdebatan politik antara penggerak parti di luar kerajaan sejak beberapa bulan lalu, hubungan serta interaksi pimpinan utama dalam setiap Mesyuarat Kabinet kekal harmoni, konstruktif dan profesional.
“Saya bersyukur kerana dapat melihat, belajar dan berada dalam suasana politik yang matang dan bertanggungjawab,” katanya.
Armizan berkata, kematangan itu terbina atas kesedaran bersama untuk memastikan negara mempunyai kerajaan yang stabil selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), sekali gus membolehkan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat dilaksanakan.
Menurutnya, tanggungjawab itu termasuk memastikan kestabilan kerajaan bagi menyempurnakan amanah yang lahir daripada Perjanjian Persefahaman Kerjasama Kerajaan Perpaduan yang dimeterai pada 16 Disember 2022.
Beliau berkata, landskap politik baharu negara selepas berakhirnya dominasi satu parti perlu diterima, selain pengalaman antara 2018 hingga 2022 yang menyaksikan pertukaran tiga Perdana Menteri dan tiga barisan Kabinet dalam satu penggal tidak seharusnya menjadi formula untuk membina kemakmuran Malaysia secara mampan.
“Sehingga kini, inilah nilai dan makna yang saya garap daripada kematangan politik dan kepimpinan rakan-rakan Jemaah Menteri yang saya yakin terbina atas rasa kesedaran bahawa hak politik diri dan parti perlu diseimbangkan dengan tanggungjawab membina negara.
“Inilah nilai dan makna sebuah kematangan politik yang penting untuk memandu kestabilan dalam dinamika landskap demokrasi dan politik Malaysia hari ini dan masa mendatang. Keranamu Malaysia!” katanya.
Dalam pada itu, Armizan berkata Sambutan Bulan Kebangsaan menjadi wadah untuk rakyat menzahirkan kebersamaan dalam mensyukuri nikmat kemerdekaan dan keamanan, selain memperbaharui tekad membina masa depan negara secara bersama.
Katanya, setiap rakyat tanpa mengira kedudukan mempunyai peranan dalam sistem kenegaraan, manakala hak sebagai warganegara perlu berjalan seiring dengan tanggungjawab terhadap negara.






