KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menghadiri Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2026 di Dataran Bandaraya, Jalan Tun Fuad Stephens, di sini, hari ini.
Hajiji bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag tiba pada jam 7.25 pagi dan menerima tabik hormat daripada Pasukan Kawalan Kehormatan Utama sebelum menyambut ketibaan Musa bersama isteri, Toh Puan Datin Seri Faridah Tussin.
Sambutan dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku, diikuti Istiadat Hormat Diraja serta pemeriksaan Kawalan Kehormatan Utama oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah.
Acara diteruskan dengan upacara menaikkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Sabah, lafaz Ikrar Rukun Negara serta persembahan koir yang menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam kalangan hadirin.
Acara berjalan lalu kemudiannya menyaksikan perarakan Jalur Gemilang, Bendera Negeri Sabah, bendera negeri-negeri di Malaysia serta bendera tema Kebangsaan 2026.
Perarakan diteruskan dengan penyertaan kontinjen perbarisan dan kategori kenderaan yang mengambil bahagian dalam sambutan berkenaan.
Sambutan turut dimeriahkan dengan persembahan khas oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sabah, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah serta Persembahan Aneka Warna.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh semangat patriotik itu berakhir kira-kira jam 10.30 pagi.






