RM605,000 Milik Pengurus Bank Lesap Diperdaya Macau Scam

RM605,000 Milik Pengurus Bank Lesap Diperdaya Macau Scam

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN – Seorang pengurus bank di Kuala Lumpur membuat laporan polis di sini baru-baru ini selepas mendakwa mengalami kerugian berjumlah RM605,000 akibat menjadi mangsa ‘Macau Scam’.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani yang dipetik Bernama berkata, wanita berusia 53 tahun itu mendakwa ia bermula apabila dia menerima panggilan telefon daripada seorang wanita bernama ‘Suraya Sani’ kononnya dari ibu pejabat Etiqa di sini kira-kira pukul 5 petang Januari lepas.

Beliau berkata ‘Suraya’ mendakwa ada individu menggunakan nama pengurus bank berkenaan untuk menuntut pampasan, dan panggilan kemudiannya disambung kepada seorang lelaki yang mengaku sebagai ‘Sarjan Hairul Mohd Musa’ dari Balai Polis Pudu.

Dalam kenyataan di sini semalam, Aibee berkata pengurus bank itu ditunjukkan dokumen kononnya waran tangkap, dan bagi menyelesaikan ‘masalah’ itu wanita berkenaan diminta memindahkan wangnya dari akaun ASNB dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) masing-masing berjumlah RM425,000 dan RM180,000 ke akaun Bank Islamnya.

Menurutnya wanita itu juga diarahkan untuk tidak memeriksa akaun Bank Islam miliknya itu kononnya untuk tujuan siasatan polis, namun apabila dia mulai curiga, selepas diperiksa wanita itu mendapati wang di dalam akaun Bank Islam itu telah lesap, lalu dia terus membuat laporan polis semalam.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya