KOTA KINABALU: Jualan Mega KTC Consolidated Berhad (KTC) yang berlangsung selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Ogos mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai dengan pelbagai keperluan harian dan produk isi rumah ditawarkan pada harga promosi.
Promosi berkenaan menawarkan diskaun sehingga 80 peratus bagi produk terpilih, sekali gus memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih menarik.
Kemeriahan jualan itu turut diserikan dengan penampilan istimewa pelakon terkenal Singapura, Henry Thia atau lebih dikenali sebagai Hui Ge, pada 29 Ogos dari jam 1 tengah hari hingga 3 petang.
Kehadiran beliau menarik ramai pengunjung dan peminat yang mengambil kesempatan untuk bertemu serta bergambar bersama pelakon berkenaan.
Sepanjang berada di lokasi, Hui Ge turut beramah mesra dengan pembeli dan menyertai aktiviti yang diadakan, sekali gus menambah kemeriahan suasana jualan mega tersebut.
Pengarah Eksekutif KTC Consolidated Berhad, Datuk Dexter Lau, berkata penganjuran jualan mega itu bukan sahaja bertujuan menyediakan lebih banyak pilihan pembelian yang berbaloi kepada pengguna, malah menjadi platform untuk memperkukuh hubungan syarikat dengan masyarakat.
Menurutnya, KTC sentiasa memberi keutamaan kepada penglibatan bersama pengguna dan komuniti, termasuk menerusi penganjuran pelbagai aktiviti interaktif bagi memberikan pengalaman membeli-belah yang lebih menyeronokkan.
“Kami berharap jualan mega ini memberi peluang kepada orang ramai untuk mendapatkan keperluan harian pada harga lebih berpatutan, sambil membolehkan lebih ramai mengenali produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh KTC.
“Berinteraksi secara langsung dengan masyarakat melalui aktiviti di tapak juga merupakan cara penting untuk kami membina hubungan lebih kukuh dengan pengguna,” katanya.
Dexter turut merakamkan penghargaan atas sokongan orang ramai sejak hari pertama jualan dan menggalakkan pengguna memanfaatkan hari terakhir promosi pada 30 Ogos.
Penganjur memaklumkan stok produk promosi serta barangan pada harga istimewa adalah terhad dan ditawarkan selagi stok masih ada.
Orang ramai yang ingin mendapatkan produk pilihan pada harga promosi digalakkan hadir lebih awal bagi mengelakkan terlepas tawaran yang disediakan sepanjang jualan mega berkenaan.






