JAKARTA, INDONESIA – Hepatitis kronik punca kepada kematian EMPAT (4) lagi kanak-kanak di Indonesia, menjadikan angka korban penularan wabak baharu itu kepada tujuh orang.
Ketua Hospital Sulianti Saroso, Mohammad Syahril yang dipetik BH berkata, sejumlah jangkitan penyakit itu dikesan di seluruh Indonesia yang mana banyak dilaporkan berlaku di Jakarta.
Hospital itu juga sedang memantau satu lagi kes yang berkemungkinan wabak berkenaan, daripada 18 kanak-kanak berusia bawah 16 tahun yang disyaki dijangkiti penyakit itu.
Lebih 200 kanak-kanak di seluruh dunia disahkan dijangkiti penyakit itu, yang mencetus kebimbangan mengenai kes misteri hepatitis pediatrik berkenaan, dengan sebilangan kanak-kanak yang dijangkiti memerlukan pemindahan hati.
Syahril berkata, kerajaan Indonesia sedang melaksanakan analisis patogen terhadap pesakit menggunakan teknologi Penjujukan Genom Menyeluruh.
Beliau menggesa ibu bapa segera membawa anak-anak ke hospital jika mereka bergejala, antaranya loya, muntah, cirit-birit teruk, demam, demam kuning, sawan dan tidak sedarkan diri.
Setakat ini, tiada data yang menyokong pandangan mengatakan vaksinasi semasa boleh membantu mengurangkan gejala itu, katanya.