KOTA KINABALU: Ahli Parlimen dan Senator dari Sabah bersedia menyokong tindakan undang-undang sekiranya rundingan berhubung hak perlembagaan negeri terhadap 40 peratus hasil bersih tidak mencapai sebarang persetujuan menjelang 15 April.
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, yang memulakan pertemuan tersebut berkata, semua wakil rakyat Sabah sependapat bahawa sekiranya tiada penyelesaian dicapai dalam tempoh 180 hari, mereka akan menyokong sebarang tindakan mahkamah yang difikirkan perlu oleh Sabah Law Society (SLS) bagi memastikan hak perlembagaan Sabah dilaksanakan.
Menurutnya, pendirian itu mencerminkan keseriusan isu berkenaan serta tekad bersama dalam kalangan wakil rakyat Sabah untuk mempertahankan hak negeri.
“Kami amat bimbang dengan kadar perbincangan yang terlalu perlahan dan kesal kerana, walaupun keputusan mahkamah itu sangat penting, setakat ini penglibatan dalam rundingan masih terhad.
“Lebih mengecewakan apabila kegagalan mencapai persetujuan mengenai sama ada hasil tertentu yang dikutip Kerajaan Persekutuan perlu dimasukkan atau dikecualikan dikatakan berpunca daripada kekurangan data.
“Pada peringkat ini, kami masih memberi ruang kepada rundingan untuk diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan. Namun, jika tiada persetujuan dicapai menjelang 15 April, kami akan menyokong sebarang tindakan undang-undang yang dimulakan oleh SLS bagi memastikan pelaksanaan hak perlembagaan Sabah terhadap 40 peratus hasil tersebut,” katanya.
Dalam pertemuan itu juga, para wakil rakyat turut mengulangi tuntutan Kerajaan Sabah agar Kerajaan Persekutuan menarik balik rayuan yang difailkan sebelum ini.
Menurut Madius, Memorandum Rayuan yang difailkan oleh Peguam Negara Persekutuan merangkumi keseluruhan keputusan mahkamah, kecuali pengiktirafan terhadap hak perlembagaan Sabah menerima 40 peratus hasil bersih di bawah Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan sesi town hall dan taklimat khas kepada Ahli Parlimen serta Senator Sabah mengenai tuntutan hasil bersih 40 peratus yang sekian lama tertangguh.
Sesi yang berlangsung selama dua jam itu diadakan di sebuah bilik mesyuarat di Parlimen pada Selasa dan turut dihadiri oleh pasukan perundangan SLS.
Antara yang hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup; Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick; Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammad Yusof Apdal;
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Datuk Chan Foong Hin; Senator Tan Sri Anifah Aman; Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Senator Datuk Nelson Anggang; Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda; Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yassin; Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah; Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya;
Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy; Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong; Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin; Senator Edward Linggu; bekas Presiden SLS, Datuk Roger Chin; Presiden SLS, Datuk Mohamed Nazim Maduarin; serta pasukan peguam SLS yang diketuai Jayen Marimuthu.
Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee, dilaporkan meninggalkan sesi lebih awal bagi menghadiri mesyuarat lain.
Dalam masa sama, Madius turut menggesa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah mempergiatkan rundingan dengan mengadakan lebih banyak pertemuan dalam tempoh 44 hari yang berbaki bagi menyelesaikan isu utama yang masih tertangguh.
Beliau berkata Ahli Parlimen Sabah turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemajuan rundingan yang perlahan antara kedua-dua kerajaan susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Oktober tahun lalu berhubung hak perlembagaan Sabah terhadap hasil bersih 40 peratus.
“Kami kecewa kerana selepas 136 hari keputusan mahkamah dibuat, iaitu lebih empat bulan, hanya tiga mesyuarat rasmi di peringkat pegawai diadakan,” katanya.
Tambah beliau, masa semakin suntuk kerana tempoh 180 hari selepas keputusan Mahkamah Tinggi itu bakal berakhir pada 15 April.
“Dengan hanya berbaki 44 hari sebelum tempoh 180 hari berakhir pada 15 April, masa semakin singkat untuk mencapai penyelesaian,” katanya.
Selain itu, Madius memaklumkan para wakil rakyat turut menggesa Kerajaan Sabah mewujudkan sistem penjejakan kutipan hasil Persekutuan bagi mengenal pasti, mengukur, menganalisis serta menyimpan data tahunan kutipan hasil bermula dari tahun 1974.
Menurutnya, sistem tersebut penting bagi memperkukuh kedudukan negeri dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti berkaitan hasil yang menjadi hak perlembagaan Sabah.






