KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi masih hilang selepas sebuah bot karam dalam kejadian di perairan antara Sepanggar dan Pulau Gaya, awal pagi Selasa.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada jam 9.47 pagi.
Menurut laporan awal, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 5 pagi ketika kedua-dua mangsa menjalankan aktiviti memancing di kawasan perairan berkenaan sebelum bot dinaiki mereka terlibat dalam pelanggaran dengan sebuah bot lain.
Mangsa dikenali sebagai Jeksin Eming, 40, dipercayai terjun ke laut bagi menyelamatkan rakannya, Jaidin Eming, 30, yang terjatuh ke dalam air susulan pelanggaran tersebut.
Jeksin bagaimanapun berjaya dinaikkan ke dalam bot sebelum dihantar ke Hospital Likas untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 4 petang.
Seorang lagi mangsa, Jaidin, masih belum ditemui setakat ini.
Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu diketuai Komander Operasi, PBK I Asama Saruddin digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut melibatkan kerjasama Polis Marin dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Ketua Balai BBP Kota Kinabalu, TPgB I Ordine Gilu berkata, operasi pencarian dijalankan dengan radius pencarian sekitar tiga batu nautika dari lokasi kejadian.
“Pasukan bomba bersama agensi penyelamat lain telah melaksanakan operasi pencarian di kawasan perairan tersebut, namun mangsa kedua masih belum ditemui setakat operasi ditangguhkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada jam 5.06 petang dan akan disambung semula pada keesokan pagi (hari ini).
Menurutnya, maklumat lanjut mengenai operasi akan dikemas kini dari semasa ke semasa.






