KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, menjemput para pelabur dari China untuk meneroka pelbagai peluang pelaburan yang terdapat di Sabah, khususnya dalam sektor Ekonomi Biru, tenaga boleh diperbaharui, infrastruktur pintar, inovasi digital serta pelancongan mampan.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri komited untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan rakan domestik dan antarabangsa bagi memacu agenda pembangunan negeri selaras dengan pelan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.
“Berpandukan pelan hala tuju SMJ 2.0, kita komited untuk menjalin pakatan strategik domestik dan antarabangsa bagi memacu agenda pembangunan negeri,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Konsulat Republik Rakyat China di Kota Kinabalu yang diadakan di Magellan Sutera Resort, di sini, semalam.
Menurut Hajiji, Sabah berbesar hati meraikan lebih lima dekad hubungan persahabatan dan diplomatik yang kukuh antara Malaysia dan China, termasuk hubungan erat antara Sabah dan negara berkenaan.
Katanya, hubungan dua hala itu terus berkembang pesat berasaskan saling menghormati, kepercayaan strategik serta kerjasama ekonomi yang semakin kukuh.
“HUBUNGAN dua hala kita terus berkembang pesat, berteraskan asas saling menghormati, kepercayaan strategik serta kerjasama ekonomi yang kukuh dan semakin meluas,” katanya.
Beliau berkata, Sabah turut mendapat manfaat daripada hubungan erat dengan China yang kekal sebagai rakan penting dalam sektor perdagangan, pelancongan dan pembangunan infrastruktur negeri.
Menurutnya, perkembangan positif itu turut disokong oleh peningkatan kesalinghubungan serta kerjasama perniagaan yang semakin rancak antara kedua-dua pihak.
Hajiji percaya bahawa selain manfaat ekonomi, hubungan kerjasama yang semakin erat antara Malaysia dan China, termasuk antara Sabah dan China, mampu memperkukuh hubungan sosial serta membina asas kepercayaan yang berkekalan.
Katanya, kerjasama itu juga berpotensi membawa kemajuan bersama yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara serta rakyat masing-masing.
“Semoga Tahun Kuda Api yang melambangkan kekuatan, keyakinan, tenaga dan keazaman ini akan memupuk perkongsian yang lebih erat serta kerjasama yang lebih rapat antara negara kita, sekali gus membawa kemakmuran kepada seluruh rakyat,” katanya.






